PROGRAM makanan percuma galak kedatangan pelajar ke sekolah.
KUMPULAN ibu bergilir-gilir memasak untuk pelajar sekolah yang sering tidak cukup makan.
PEMERIKSAAN kesihatan diberikan untuk cegah masalah bantut dalam kalangan pelajar miskin.
PELAJAR beratur untuk mencuci tangan sebelum menikmati sajian percuma di sekolah.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Sajian tengah hari yang dihidangkan ringkas sahaja: mi goreng, seketul ayam goreng dan sebiji pisang. Namun bagi Safira, gadis kurus berusia 11 tahun, hidangan itu cukup mewah. Hidangan tengah hari yang diberikan secara percuma oleh pihak sekolah itu, adalah sajian pertama buat Safira. Malah itu jugalah makanan untuk dia bertahan sampai keesokan hari.

Anak pekerja kilang dan buruh harian itu terpaksa mengharungi perjalanan selama dua jam untuk mencari kerja, keluarganya tidak cukup duit untuk memasak makanan di rumah. Makan malamnya pula biasanya hanya sebiji atau dua biji pisang. Apabila pihak sekolah tidak menyediakan makanan, Safira akan berlapar sepanjang hari.

“Pada hari pihak sekolah tidak menyediakan makanan dan saya pula tidak bawa apa-apa dari rumah, saya tidak akan makan,” katanya sambil berhati-hati mencubit ayam goreng yang terhidang di depannya.

“Saya tidak boleh menumpukan perhatian pada pelajaran apabila berasa sangat lapar. Makanan di sekolah sedap. Di rumah, biasanya saya makan nasi goreng,” tambahnya.

Inisiatif yang dilakukan oleh pihak sekolah adalah langkah terpuji. Sekolah rendah yang kecil di pekan Serang, kira-kira 60 kilometer di barat Jakarta memberikan makanan tengah hari percuma tiga kali seminggu.

Menu untuk murid sekolah itu dirancang dengan teliti dan mengambil kira keperluan untuk sumber karbohidrat, protein, serat dan vitamin. Bahan mentahnya dibeli dari petani setempat manakala golongan ibu yang mempunyai anak bersekolah di situ bergilir-gilir memasak hidangan tengah hari itu.

Program bantuan makanan sekolah itu dibiaya oleh Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) dan pedagang komoditi global Cargill Inc. Ia adalah sebahagian daripada usaha pihak berkuasa Indonesia dan agensi bantuan untuk menangani isu kekurangan zat yang dialami jutaan kanak-kanak menyebabkan pertumbuhan terbantut dan menyekat potensi mereka.

Iktiraf masalah bantut

Berdasarkan laporan WFP, di Indonesia, satu dalam tiga kanak-kanak berumur antara tiga hingga 14 tahun tidak mendapat makanan berkhasiat.

Keadaan ini lebih buruk di bahagian timur Indonesia yang cuacanya lebih kering di samping masalah kemiskinan kronik dan kurangnya pembangunan.

Pakar berpendapat, masalah kekurangan zat ini boleh memberi impak besar kepada daya saing dan perkembangan ekonomi masa depan negara itu selain keperluan kesihatannya.

“Masalah bantut dan tidak cukup zat dianggarkan boleh menyebabkan penyusutan ekonomi dua hingga tiga peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar Indonesia,” kata Timbalan Pengarah Negara Bagi Millennium Challenge Corporation (MCC) di Indonesia Martha Bowen. MCC menjalankan projek bernilai RM574.9 juta bagi mengurangkan masalah kebantutan di Indonesia.

Menurut data kerajaan, pada 2013, kira-kira 37 peratus kanak-kanak Indonesia di bawah usia lima tahun terbantut pertumbuhan mereka berbanding 35.6 peratus pada 2010. Ini menandakan Indonesia mempunyai lebih 9.5 juta kanak-kanak bantut, yang kelima tertinggi di dunia.

Kata pakar, bantut boleh disebabkan kekurangan zat yang berlarutan di samping masalah kebersihan. Keadaan ini menghalang pertumbuhan kognitif kanak-kanak dan potensi ekonomi.

Kanak-kanak bantut secara umumnya lebih rendah, mengambil masa yang lebih lama untuk menamatkan sekolah dan mempunyai pendapatan yang sedikit apabila bekerja kelak. Malangnya, kesan ini tidak boleh diperbetulkan.

Kajian kerajaan juga mendapati pada 2013, lebih satu perempat kanak-kanak Indonesia berumur lima hingga 14 tahun mengalami masalah kekurangan darah (anemia) yang biasanya disebabkan kekurangan zat besi dan vitamin. Anemia juga boleh menjejaskan perkembangan kognitif dan fizikal kanak-kanak.

Harga makanan mahal

Dalam satu kajian WFP mendapati kehadiran pelajar lebih tinggi di sekolah yang ada program bantuan makanan berbanding yang tiada, kata pengarah agensi itu di Indonesia, Anthea Webb.

“Kadar ketidakhadiran ke sekolah juga menurun, seperti kadar anemia. Ini bermakna kanak-kanak mempunyai lebih tenaga dan fokus. Bahkan tabiat penjagaan kebersihan mereka juga bertambah baik kerana kami turut mengajar kanak-kanak ini mencuci tangan dan memberus gigi,” katanya.

Malangnya Indonesia tidak menyedari kekurangan zat ini satu masalah kecuali ia menyebabkan masalah besar seperti kekurangan berat yang serius. Hanya dalam Pelan Pembangunan Jangka Sederhana Nasional 2009-2014 barulah kerajaan menerima masalah bantut sebagai isu besar, kata Bowen.

Pada masa itu, tiada perkataan dalam bahasa Indonesia yang untuk menerangkan keadaan itu kecuali ‘pendek’ (bagi masalah bantut).

Akhirnya mereka menggunakan perkataan ‘stanting’ yang diambil daripada istilah bahasa Inggeris iaitu ‘stunting’.

Menurut pakar, kurangnya penyusuan ibu, amalan diet yang kaya karbohidrat tetapi rendah protein dan vitamin selain peningkatan pengambilan makanan diproses turut menyumbang kepada masalah bantut.

Bahkan mereka juga bimbang dengan perubahan iklim yang menyebabkan cuaca ekstrim boleh menyebabkan peningkatan harga makanan dan menyukarkan lagi keluarga miskin mendapat hidangan berkhasiat.

Harga makanan di Indonesia kini antara yang tertinggi di Asia Tenggara berikutan langkah mengehadkan pengimportan makanan dan dasar lain kerajaan. Ia juga menjadi faktor penyumbang kepada masalah bantut. Lebih 28 juta rakyat Indonesia hidup di bawah garis kemiskinan dengan pendapatan sekitar RM115 sebulan.

Selain masalah kekurangan zat, Indonesia juga berdepan isu obesiti. Pada 2015, Bank Dunia melaporkan semakin ramai rakyat negara itu (kanak-kanak dan dewasa) daripada semua latar belakang ekonomi mengalami masalah berat badan berlebihan. Jika tidak ditangani, ia boleh membawa kepada penyakit gaya hidup tidak berjangkit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 1:18 PM