ZURAIDAH menunjukkan cara meletakkan ising di atas kek.
KEK tempahan yang disiapkan.
ANTARA kek tiruan yang dihasilkan Zuraidah.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Lelehan coklat di atas sebiji kek dengan kepingan coklat dan ceri di atasnya nampak begitu enak dan menyelerakan. Namun jangan terpedaya kerana semua kek, aiskrim dan kek cawan yang dihasilkan wanita ini adalah palsu belaka. Ia sekadar perhiasan untuk majlis tertentu seperti perkahwinan atau jamuan hari jadi.

Melihat hasil kerja wanita ini ternyata dia sangat teliti, sabar dan mempunyai kesungguhan yang tinggi bagi menyiapkan dekorasi supaya nampak semula jadi. Setiap langkah dilakukan begitu berhati-hati supaya hiasan tidak comot.

“Langkah pertama dimulakan dengan membancuh sejenis bahan dipanggil plaster of Paris. Kemudian bahan ini dituang dalam acuan dan dikeringkan. Proses pengeringan mengambil masa kurang dari seminggu.

“Bahan kedua iaitu ‘filler’ digunakan untuk mendapatkan kesan seperti bentuk ising. Bagi menjadikan kek nampak semula jadi, buah-buahan dan bunga-bungaan tiruan digunakan sebagai hiasan kek mengikut kesesuaian konsep. Kemudian hasilnya dikemaskan dengan sapuan cecair berkilat bagi mengukuhkan dan mengilatkan produk yang dihasilkan,” kata Zuraidah Yusoff, 48, sambil menunjukkan cara ringkas membuat kek coklat.

Menurut Zuraidah, kek yang disiapkan walaupun mengambil masa lama tetapi ia memberikan kepuasan yang tidak terhingga apabila penerima berpuas hati dengan hasil kerjanya.

“Sebab itu saya terus cuba meningkatkan kemahiran dengan melayari YouTube untuk melihat dekorasi pereka luar negara. Apa saja yang dihasilkan mereka saya cuba ikuti agar dapat menghasilkan kek yang lebih baik,” katanya yang berpuas hati apabila menerima maklum balas positif pelanggan.

Pernah bekerja sebagai pembantu perunding warna di ICI Paints Malaysia, Zuraidah mempunyai pengalaman dalam bidang pemilihan warna dan pengalaman ini sedikit sebanyak digunakan dalam rekaan kek tiruan yang dihasilkannya.

Ini ditambah latar belakang pendidikan dalam jurusan Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menyebabkan wanita ini menggunakan semua pengalaman yang ada dalam bidang seni hias. Malah, dia menjadikan seni kek tiruan sebagai satu platform untuk mengasah dan mengembangkan bakat sedia ada.

BERMULA SEBAGAI HOBI

Menurut Zuraidah pada mulanya penghasilan kek tiruan sekadar hobi, namun lama-kelamaan dia menerima tempahan pelanggan yang sangat menghargai bakat dalam bidang hiasan.

“Oleh kerana mula menerima tempahan, saya mengambil keputusan berhenti kerja dan bekerja dari rumah. Bagi mendapatkan idea yang segar, saya sering menonton program dekorasi ala Inggeris dalam pelbagai media seperti Internet dan majalah. Hasil daripada melihat hiasan ala Inggeris ini tercetusnya minat dalam bidang seni hiasan kek tiruan,” katanya.

Menyedari seni hiasan yang cepat berubah, pereka perlu cekap dan cepat dalam menghasilkan rekaan baru. Kebanyakan kek, coklat dan donut adalah idea sendiri dan diperoleh dari media. Dengan melihat kek asli, Zuraidah kemudian mengolah produk menyamai atau lebih baik daripada contoh.

Menyedari cabarannya adalah cuaca yang tidak menentu, tempoh menyiapkan tempahan adalah tidak kurang dari seminggu namun kadangkala bergantung kepada kuantiti tempahan.

“Jika hujan kek lambat kering dan mengambil masa lama untuk disiapkan. Ini kerana saya menggunakan bahan seperti cecair plaster of Paris yang menjadi bahan asas, filler, pewarna akrilik dan peralatan asas menghias sebenar seperti corong dan beg paiping, buah-buahan, bunga hiasan dan cecair berkilat yang memerlukan masa yang lama untuk kering,” katanya.

Walaupun dianggap seni yang terpinggir dan jarang dilakukan tetapi ia mempunyai peminat tersendiri. Pelanggan kek tiruan terdiri daripada rakan, ahli keluarga dan kenalan di Facebook. Walaupun kebanyakan idea adalah ilham rekaan sendiri namun ada juga tempahan yang dihasilkan berdasarkan permintaan pelanggan.

“Tempahan yang paling sukar setakat ini adalah menghasilkan kek hiasan tiga tingkat yang mencecah ketinggian hampir empat kaki dan mengambil masa dua minggu untuk disiapkan. Selain cabaran dan hiasan proses pembungkusan juga agak rumit kerana saya perlu memastikan tempahan sampai kepada pelanggan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kerosakan,” katanya.

Menggunakan 100 peratus kepakaran, tenaga dan idea, tidak hairan jika harga untuk sebiji kek boleh mencecah RM500 untuk kek bertingkat. Ia juga bergantung kepada ukuran dan hiasan di atasnya. Harga minimum pula serendah RM10 dan dijual menerusi laman web Craftcabin Zoebella.

“Buat masa sekarang, saya pernah menerima tempahan dari Singapura, Sabah dan Sarawak. Pada masa akan datang saya berhasrat untuk memiliki galeri agar dapat mempamerkan hasil karya sendiri. Saya juga mahu mengembangkan hasil seni ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 1:22 PM