KETIKA memberi penerangan dan kelas pemasaran.
BERSAMA dua anak didiknya.
WANITA berjiwa kental dalam memburu kejayaan.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Memiliki sifat tegas secara semula jadi, setiap tutur katanya diatur dengan baik. Peluang bertemu anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini membuatkan hati teruja untuk mengenalinya secara lebih dekat.

Di sebalik ketegasannya, dia mempunyai impian murni iaitu untuk membantu setiap wanita tanpa mengira usia dan status menjana pendapatan sendiri berdasarkan kemahiran diri yang dimiliki.

Impian dipasang itu semata-mata untuk melihat tiada lagi wanita ditindas hanya disebabkan tidak mempunyai sumber pendapatan sendiri dan terlalu bergantung kepada suami.

Bagi Ruzita Jamaludin, 41, dia akui dirinya tegas dan tidak mudah patah semangat demi merealisasikan perjuangan membantu wanita mengubah kehidupan daripada biasa ke tahap luar biasa.

“Bagi saya, setiap individu itu pasti memiliki kemahiran sendiri yang boleh digilap dan dikembangkan terutama dengan menambah pengetahuan mengenai sesuatu bidang yang ingin diceburi.

“Atas faktor itu, saya tekad menjadi tenaga pengajar dalam bidang pemasaran. Saya memilih bidang ini bagi memudahkan membantu setiap wanita yang mempunyai keinginan untuk berjaya supaya lebih maju dan berilmu,” katanya.

Menetap di Puchong, Selangor, ibu kepada dua cahaya mata yang kini berusia 21 dan 10 tahun itu mengakui pada hakikatnya tidak mudah untuk mencapai impiannya itu.

“Sebelum bergelar tenaga pengajar dalam bidang perniagaan dan pemasaran ini, saya sendiri sudah berkecimpung lebih 10 tahun dalam perniagaan yang membuatkan saya lebih matang berdepan pelbagai onak dan duri.

“Saya sememangnya berlatarbelakangkan keluarga yang terbabit dalam bidang ini. Arwah ibu dan ayah adalah pengusaha kedai makan sejak saya kecil dan ia memberi pengalaman sebenar kepada saya dalam bidang ini,” ujarnya.

Ruzita berkata, dia bermula dengan menjadi dropship dan menjual pelbagai produk kecantikan di samping turut mengambil tempahan katering.

“Daripada detik itu, saya semakin ligat berniaga, kemudian melangkah setapak ke depan dengan menggunakan kemahiran dipelajari daripada arwah nenek yang juga bidan kampung.

“Di samping ilmu diturunkan arwah nenek, saya juga menambah pengetahuan dengan mengikuti pelbagai kelas berkaitan bidang itu sebelum serius menjalankan perkhidmatan spa bergerak rumah ke rumah,” katanya.

Katanya, syukur atas usaha kerasnya dia berjaya memiliki sebuah spa Muslimah berkonsepkan ala Bali di Puchong, Selangor yang masih aktif beroperasi sehingga kini.

ADAKAN KELAS KEMAHIRAN PERCUMA

Meneruskan impiannya dalam membantu wanita yang masih tercari-cari arah tuju untuk menjana sumber pendapatan membuatkan Ruzita tekad mengadakan kelas kemahiran urutan serta kemahiran lain secara percuma khusus untuk ibu tunggal.

“Selain kelas kemahiran urutan, saya juga mengadakan kelas pemasaran perniagaan atas talian memandangkan ia antara medan yang sangat sesuai bagi menjana pendapatan.

“Disebabkan segalanya kini di hujung jari, saya yakin dengan permintaan yang tinggi daripada perniagaan atas talian ini dan ia perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh setiap wanita untuk menjalankan perniagaan,” katanya.

Menurut Ruzita, dia berasa gembira dan teruja apabila kelas pemasarannya mendapat sambutan menggalakkan daripada wanita di seluruh Malaysia.

“Anak murid saya datang dari pelbagai daerah dan negeri, semua mahu mempelajari ilmu pemasaran perniagaan dalam talian bagi menjana pendapatan lumayan.

“Pastinya saya amat gembira melihat sambutan ini kerana ia membawa impian saya selangkah ke depan. Saya mahu melihat lebih ramai wanita menggapai kejayaan cemerlang dan bergelar jutawan atas usaha sendiri satu hari nanti,” ujarnya.

Menurutnya, pada penghujung 2015, dia memulakan Projek Jutawan Mobile Spa Mawar Putih 1 Malaysia dengan mengajar dan berkongsi ilmu spa kepada peserta.

“Projek ini mendapat sambutan luar biasa daripada wanita yang mahu berjaya. Dalam projek itu saya mensasarkan setiap negeri akan mempunyai wakil kru spa bergerak, Mawar Putih untuk memenuhi kehendak pelanggan dengan kemahiran yang saya ajar.

“Syukur, kini saya mempunyai kira-kira 155 wakil kru Mawar Putih di seluruh Malaysia yang menjalankan perniagaan ini,” katanya.

Kata Ruzita, walaupun sudah membantu ramai wanita dalam perniagaan masing-masing, dia belum puas dan mahukan lebih ramai wanita yang berjaya.

“Saya masih menjalankan kelas pemasaran khusus untuk wanita yang dahagakan ilmu dan kemahiran. Soal bayaran dan harga bukan menjadi keutamaan kerana saya menawarkan pakej yang sangat berbaloi dengan harga berpatutan.

“Semuanya saya lakukan demi kejayaan bersama kerana saya akan berasa puas dan berbangga setiap kali dapat melihat anak didik berjaya menjana pendapatan lumayan,” ujarnya.

CEBURI SEKTOR PELANCONGAN

Ruzita yang mengakui tidak boleh duduk diam tanpa melakukan sebarang pekerjaan kini berusaha mengembangkan sayap perniagaannya sendiri dengan memilih untuk terbabit dalam sektor pelancongan.

“Selain mendidik wanita, saya juga perlu memikirkan saluran tepat untuk mengembangkan perniagaan. Disebabkan kerap berulang alik ke Indonesia bagi mendapatkan barangan dan produk spa, saya mula terfikir untuk terbabit dalam sektor pelancongan dengan menawarkan pelbagai pakej pelancongan ke Bali, Indonesia serta beberapa lokasi lain dengan harga berpatutan,” katanya.

Menurutnya, dia amat bersyukur kerana sambutan diterima amat menggalakkan dan hampir semua pakej pelancongan ditawarkan ditempah pelanggan.

“Saya juga sudah membeli beberapa kenderaan di sana (Indonesia) untuk memudahkan urusan pelancongan dan membawa pelanggan ke pelbagai lokasi menarik.

“Bidang perniagaan sememangnya sudah

serasi dengan diri saya. Saya percaya setiap dugaan yang diterima membuatkan saya lebih berani dan matang untuk berdepan dugaan yang akan datang,” ujarnya.

Antara cabaran paling besar dihadapinya ialah berdepan dengan hati dan mata yang tidak senang dengan perkembangan perniagaannya.

“Apabila orang tidak suka, macam-macam perkara dilakukannya. Namun saya yakin, rezeki Allah ini amat banyak, tidak perlu dengki dengan nikmat orang lain. Kalau mahu berjaya, kita juga perlu berusaha dan keyakinan inilah yang menggerakkan semangat saya untuk sampai ke tahap sekarang.

“Apa yang saya lakukan adalah hasil usaha sendiri. Saya tidak mahu apa-apa, cukuplah sekadar perniagaan berkembang maju dan pada masa sama dapat membantu lebih ramai wanita yang ingin berjaya,” katanya.

Tambahnya, dia juga amat bersyukur kerana dianugerahkan keluarga yang memahami dan berada bersamanya di kala susah mahupun senang.

“Memang saya sibuk tetapi saya akan cuba cari masa terluang untuk bersama-sama insan tersayang bagi memastikan segalanya dalam keadaan baik. Syukur, anak juga sudah meningkat dewasa dan mereka memahami kesibukan saya ini.

“Saya belum puas kerana di samping mahu membantu wanita untuk menjana pendapatan sendiri, saya juga memasang hasrat membuka sebuah pusat kemahiran yang sistematik khusus dalam bidang kecantikan,” katanya.

Ruzita berkata, tidak mudah untuk berjaya dan tidak sukar juga untuk gagal. Atas sebab itu dia mahu setiap wanita untuk bangkit menjana pendapatan sendiri bagi memastikan kehidupan dapat diteruskan terutama apabila dilanda dugaan hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 4:07 AM