KAUNTER zakat pandu lalu Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) Putrajaya.
Muhamad Safar Ahmad

Hujung bulan lalu Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas empat lelaki atas kesalahan membunuh seorang lelaki lain gara-gara berhubung masalah parkir.

Sebelum ini pun beberapa video tular di media sosial menunjukkan manusia sanggup mengenepikan adab sopan, berkelakuan menjengkelkan dan bertindak ganas kerana berebutkan petak letak kereta.

Jika masalah berkaitan parkir menyebabkan kita sanggup bertinju dan berbunuhan ia satu petanda isu ini boleh jadi parah jika tidak ditangani sebaiknya.

Ironinya semakin banyak pihak berkaitan menyediakan parkir, masalah ruang parkir terhad tidak pernah selesai.

Ini ada kaitan dengan pertambahan bilangan kenderaan terutama kereta yang semakin meningkat.

Mengikut statistik, jumlah kenderaan yang berdaftar di negara ini mencecah sehingga 14.8 juta sehingga akhir tahun lalu berbanding hanya 7.6 juta satu dekad lalu.

Di Wilayah Persekutuan dan Selangor saja jumlah kenderaan yang aktif di atas jalan raya mencecah enam juta.

Keadaan ini ada kaitan juga dengan sikap manusia sendiri. Hendak membeli segelas minuman pun sanggup memandu ke kedai atau restoran dan terpaksa bersaing untuk mencari parkir.

Begitu juga jika mahu membayar bil atau mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM), semuanya perlu berkereta.

Saya tertarik dengan idea Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya menyediakan kaunter pandu lalu kepada umat Islam untuk membayar zakat fitrah, baru-baru ini.

Tidak perlu bersusah payah mencari tempat letak kenderaan, hanya berhenti seketika dan urusan selesai dalam beberapa minit.

Walaupun idea itu sudah dilaksanakan sejak 2011 namun apa yang kita dapati tidak banyak pihak cuba meniru konsep ini di tempat mereka.

Kaunter pandu lalu sebenarnya penyelesaian kepada banyak masalah. Bukan setakat membeli burger atau kentang goreng dari restoran makanan segera, kemudahan ini juga ditawarkan beberapa pihak lain, namun disebabkan kurangnya promosi, mungkin ramai yang tidak perasan kewujudannya.

Antara pihak yang sudah menawarkan kemudahan ini termasuk pembayaran bil beberapa syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta pembayaran cukai pintu di sesetengah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beberapa hospital kerajaan turut dilaporkan memiliki sistem pengambilan ubat secara pandu lalu.

Selepas berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan dan preskripsi ubat, pesakit perlu berdaftar dengan unit farmasi untuk disenaraikan bagi perkhidmatan ini.

Selepas pendaftaran, pesakit diberikan kad dan tarikh pengambilan bekalan ubat susulan pada bulan berikutnya.

Fasiliti kesihatan yang menyediakan perkhidmatan pandu lalu menyediakan kaunter luar yang mempunyai laluan kenderaan khas pesakit bagi mengambil ubat susulan. Melalui perkhidmatan ini, pesakit tidak perlu tunggu lama kerana ubat mereka disediakan lebih awal.

Kaedah ini mungkin tidak begitu popular di Malaysia namun di negara maju kaunter pandu lalu boleh ditemui di mana-mana.

Idea transaksi menerusi kaunter pandu lalu dicetuskan di Amerika Syarikat (AS) oleh Jordan Martin pada 1930-an.

Pada peringkat awal sistem ini terhad kepada perkhidmatan perbankan yang mana pemandu kereta boleh berurusan terus dengan juruwang menerusi tingkap khas di laluan.

Selepas melihat impak perkhidmatan itu, beberapa bidang perniagaan lain turut mencuba melaksanakannya di tempat mereka.

Sehingga kini, AS adalah negara paling banyak memiliki fasiliti pandu lalu merangkumi pelbagai sektor perniagaan termasuk ujian darah, memproses gambar malah marijuana turut dijual di kaunter pandu lalu selepas negeri Colorado menghalalkan dadah berkenaan pada 2014.

Penulis Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu, Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 7:06 AM