Jemaah umrah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO arkib NSTP
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


PELAKSANAAN umrah persendirian atau lebih dikenali dengan umrah DIY (Do It Yourself) adalah satu kesalahan di sisi undang-undang Kerajaan Arab Saudi.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, mana-mana individu yang melakukan umrah DIY boleh ditahan pihak berkuasa Arab Saudi.

"Kerajaan Arab Saudi mewajibkan jemaah yang berada di Tanah Suci perlu berdaftar dan diurus oleh syarikat pengendali umrah yang sah atau lebih dikenali sebagai muassasah.

"Kementerian mengakui wujud pihak yang sudah berkongsi pengalaman kejayaan mereka mengerjakan umrah secara DIY terutama melalui media sosial," katanya pada sidang media pada Mesyuarat Majlis Kawal Selia Umrah Bil 3/2017 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Nor Yahati Awang.

Mas Ermieyati berkata, umrah DIY membabitkan kos yang rendah tanpa mengambil pakej umrah dari syarikat pengendali umrah.

"Bagaimanapun, kementerian mengingatkan pelancong yang dikategorikan sebagai Pengembara Bebas (FIT) tidak terpakai bagi tujuan umrah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 12:05 PM