Abdul Wahid
Asrol Awang
am@hmetro.com.my


KADAR zakat fitrah di Pahang tahun ini kekal RM7 iaitu berdasarkan harga beras ditetapkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Timbalan Yang Dipertua MUIP Datuk Seri Abdul Wahid Wan Hassan berkata, kadar itu kekal untuk sembilan tahun berturut-turut sejak 2009.

Katanya, pada 2007 kadar zakat fitrah RM4.80 dan dinaikkan kepada RM7.30 pada 2008 sebelum turun kepada RM7 pada 2009 sehingga tahun ini.

"Bagi melancarkan urusan pembayaran zakat fitrah, seramai 896 amil ditauliahkan untuk melaksanakan kutipan zakat berkenaan di seluruh Pahang.

"Berdasarkan rekod, jumlah kutipan zakat fitrah pada 2015 sebanyak RM5.9 juta yang membabitkan lebih 969,000 pembayar manakala RM6.013 juta kutipan membabitkan 981,894 pembayar tahun lalu," katanya dalam sidang media, di Kuantan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata individu didapati mengutip zakat fitrah tanpa diberi kuasa oleh MUIP adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 6:54 PM