Keadaan kenderaan dinaiki mangsa yang merempuh pembahagi jalan. FOTO ihsan polis
Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my


DUA pupu Sultan Johor, Tunku Amal Jakiah Tunku Mohd Archibald, 58, meninggal dunia selepas Perodua Myvi dipandu anak perempuannya merempuh pembahagi jalan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, kemalangan berlaku pada 9.45 pagi apabila anak perempuannya cuba mengelak kenderaan lain dan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar batu pembahagi jalan.

"Kejadian berlaku di susur keluar ke Jalan Lingkaran Dalam Danga City Mall menghala ke Skudai/Pantai Lido.

"Akibat rempuhan kuat itu, Tunku Amal Jakiah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan.

"Anak perempuannya pula dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan kecemasan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 6:59 PM