E-mel palsu yang tersebar
Fardy Bungga
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dengan e-mel menggunakan nama agensi berkenaan yang mendakwa kononnya penerima memenangi hadiah RM150,000.

TNB dalam kenyataan yang keluarkan hari ini berkata, email palsu itu dikesan berleluasa sejak 2015 dan ianya dikenalpasti disebarkan pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan aktiviti 'Phishing' iaitu pencurian data atau maklumat peribadi mangsa.

"Orang ramai yang menerima email ini diminta supaya tidak memberi respon kepada e-mel berkenaan atau mendedahkan data peribadi kepada pihak yang tidak dikenali.

"Sebarang maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi TNB Careline ditalian 1 300 88 5454," katanya.

E-mel yang dipercayai dikirim secara rawak itu mendakwa penerima adalah antara tujuh alamat email bertuah dan mangsa diminta memberi respon dengan menghantar maklumat peribadi.

Email berkenaan juga menjelaskan hadiah wang tunai akan dibayar kepada pemenang menerusi bank antarabangsa selain meminta mangsa mengemukakan tuntutan kepada Jabatan Ganjaran TNB dengan tertera nama pegawai Zailina Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 7:06 PM