Gambar seorang lelaki memakai kostum Predator ditahan anggota polis ketika mahu masuk ke Dataran Lang, Langkawi yang menjadi tular di media sosial, adalah gurauan semata-mata. FOTO ihsan Friends Of PDRM.
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my

GAMBAR Predator ditahan anggota polis bantuan di pintu masuk pusat pelancongan Dataran Lang, Langkawi, di sini, yang tular di media sosial, hanyalah gurauan semata-mata.

Polis bantuan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Faizal Mohamad, 45, berkata gambar itu diambil ketika berlangsung Festival Motosikal Berkuasa Tinggi Diraja Langkawi (FMBTDL) 2017 minggu lalu.

Katanya, gambar itu dirakamkan oleh seorang individu ketika dia sedang bergurau dengan penunggang motosikal sejurus peserta konvoi FMBTDL itu tiba di Dataran Lang, tempatnya bertugas.

"Penunggang motosikal yang berasal dari Alor Setar itu adalah peserta konvoi terakhir tiba di Dataran Lang sebelum kami sempat bergurau bersama dan kebetulan rakannya  merakamkan gambar.

"Bagaimanapun, petang ini saya menerima banyak panggilan telefon dan pesanan mesej dalam aplikasi WhatsApp bertanyakan hal itu selepas gambar saya bergurau dengan penunggang itu tular di media sosial," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Akaun Facebook Friends Of PDRM turut memuat naik gambar itu yang disertai penerangan 'Predator 'ditangkap' ketika muncul di Langkawi. Mungkin kena hantar balik ke tempat asal, tapi kat mana ya?

Predator adalah watak pemangsa dalam sebuah filem sains fiksyen terkenal yang popular pada era 80-an dan digambarkan sebagai makhluk asing yang memiliki kegemaran berburu.

ÂSementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang, ketika dihubungi mengesahkan gambar ditularkan itu adalah anggota polis bantuan LADA dan seorang penunggang motosikal yang mengenakan kostum Predator.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 9:33 PM