NAJIB bersalaman dengan hadirin ketika di majlis pelancaran UMNO Bantu Rakyat anjuran Biro Kebajikan UMNO Malaysia. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Program UMNO Bantu Rakyat yang akan menjelajah ke 71 lokasi tumpuan untuk menyantuni 300,000 kumpulan sasar.

Beliau berkata, program kali kedua itu anjuran Biro Kebajikan UMNO Malaysia disertai 150 sukarelawan akan bertemu penduduk miskin, ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan bantuan kerajaan.

"Pada 11 Mei lalu, parti ini menyambut ulang tahun ke-71 sekali gus menunjukkan UMNO sentiasa relevan dalam memperjuangkan nasib rakyat.

"Apa yang kita lakukan (bantu rakyat) bukan mengikut musim tetapi sepanjang tahun," katanya ketika berucap merasmikan program itu di Sekolah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang, hari ini.

Najib turut melepaskan konvoi menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang akan menyantuni kumpulan sasar selama 12 hari fasa pertama bermula di Ampang dan berakhir di Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 10:19 PM