Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my


TUJUH rakan remaja lelaki berusia 18 tahun yang meninggal dunia akibat leptospirosis atau kencing tikus sudah menjalani pemeriksaan perubatan dan didapati negatif penyakit itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, sebaik remaja lelaki itu meninggal dunia tengah malam Khamis lalu, pasukan perubatan menjalankan siasatan dan mengenal pasti tujuh rakannya di sekitar Pontian berusia 19 hingga 30 tahun.

"Semua tujuh lelaki itu bersama mangsa mandi di Air Terjun Gunung Pulai 1 kira-kira dua minggu lalu.

"Pemeriksaan dilakukan di Pejabat Kesihatan Pontian hari ini selepas mangsa meninggal dunia. Hasil pemeriksaan, kami dapati mereka semuanya negatif leptospirosis," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Malam Mesra sempena Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Negeri Johor 2017 di Persada Johor di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Johor, Fatimah Othman.

Ayub berkata, remaja lelaki itu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pontian sebelum dirujuk ke Hospital Pontian dan dimasukan ke wad pada 1.30 pagi Selasa lalu kerana dipercayai menghidap denggi.

"Bagaimanapun pada 3.50 petang keesokan harinya, arwah dirujuk ke HSA untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Pada jam 2.30 petang semalam, arwah disahkan positif leptospirosis dan meninggal dunia pada 12 tengah malam," katanya.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang pernah mandi di air terjun itu, April dan awal bulan ini serta demam, sakit perut dan selesema diminta melakukan pemeriksaan di hospital atau klinik kesihatan berhampiran bagi mengetahui status kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 12:19 AM