Erik ketika melancarkan model Vento Allstar dan Vento GT. FOTO Syarafiq Abd Samad
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) pengedar rasmi kenderaan jenama Volkswagen di Malaysia memperkenalkan model edisi istimewa untuk pasaran tempatan hari ini.

Beetle baru, Vento Allstar dan Vento GT disasarkan buat pembeli yang mahukan sebuah kenderaan dengan penampilan sedikit berbeza daripada model standard serta lebih bergaya.

Pengarah Urusan VPCM Erik Winter berkata, selain tampil kelainan, ia juga memberi rangkaian pilihan yang lebih banyak kepada pembeli terutama menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

"Selepas Polo Allstar diperkenalkan baru-baru ini, kami mempelbagaikan nilai tambah dengan pengenalan model terkini untuk bakal pembeli serta tawaran dan rebat menarik," katanya ketika pelancaran.

Vento Allstar dilengkapi aksesori eksklusif bernilai RM7,000 seperti tempat duduk kulit, pedal sports aluminium, spoiler belakang dan aplikasi MYVW Drive dengan enjin 1.6 liter MPI.

Vento GT lebih bergaya dengan aksesori bernilai RM9,000 seperti bumbung dan perumah cermin sisi hitam, jalur hitam pada pintu dan kemasan belakang dan tempat duduk kulit dengan enjin 1.2 liter TSI pengecaj turbo.

Untuk Beetle dua varian ditawarkan iaitu Design dan Sport dengan sistem pendingin hawa dua zon, tempat duduk balutan kulit "Vienna" lampu utama bi-xenon serta lampu nyalaan siang LED.

Harga jualan asas untuk Vento Allstar ialah (RM78,888), Vento GT (RM89,888), VW Bettle Design (RM136,888) dan Sport (RM147,888).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 2:46 PM