Gelagat mencuit hati wanita Korea yang mencuba samping sebagai skirt Bazar Ramadan Mega 2017 di Hang Tuah Mall Melaka, Rabu lalu. FOTO Ihsan Muhammed Asiff
Hanafis Abd Haris
hanafis@hmetro.com.my


"GARU kepala juga melihat gelagat wanita Korea itu. Namun apabila melihat samping yang disarung ala skirt itu nampak sesuai, kami rasa kagum pula," kata Mohamed Asiff Mohamed Amiz, 29 berhubung gelagat warga korea yang membeli sampin di Bazar Ramadan Mega 2017 di Hang Tuah Mall Melaka, Rabu lalu.

Gaya bersahaja wanita terbabit memakai samping yang dipadankan dengan baju kemeja putihnya bukan saja mencuit hati, malah mencuri tumpuan pengunjung bazar terbabit.

Mohamed Asiff berkata, wanita berusia lingkungan 30-an itu pada awalnya datang ke bazar berkenaan bersama keluarganya kira-kira 10 malam Selasa lalu.

Menurutnya, wanita terbabit hanya melihat koleksi samping yang dijual di satu daripada gerai di bazar berkenaan.

"Bagaimanapun, keesokan harinya dia muncul semula dan terus mengambil satu samping berwarna hitam perak.

"Apa yang mencuri perhatian kami adalah gelagat wanita terbabit yang memakai samping seolah-olah dia memakai skirt," katanya ketika dihubung di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamed Asiff berkata, pada awalnya gelagat wanita terbabit kelihatan agak pelik kerana mahu membeli samping untuk dipakai sebagai skirt.

"Namun apabila dilihat padanan dengan bajunya, nampak sesuai pula. Mungkin itu juga tujuan dia membeli samping terbabit.

"Kami cuba juga bertanya, namun wanita terbabit tidak fasih berbahasa Inggeris. Malah suaminya yang juga warga korea hanya menyebut perkataan 'good' sepanjang kami di sana," katanya,

Menurutnya, hampir 20 pengunjung mengerumuni gerai terbabit dan suasana ketika itu bertukar meriah.

Terdahulu dua gambar memaparkan gelagat wanita terbabit tular apabila dimuat naik oleh Mohamed Asiff di Facebook miliknya.

Gambar terbabit kemudian menerima lebih 1,000 perkongsian di Facebook.

Difahamkan Bazar Ramadan Mega 2017 dianjurkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dibuka seawal jam 7.30 malam hingga 3 pagi sepanjang Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 12:40 AM