Anggota APM cuba mengeluarkan mangsa yang cedera, manakala lori muatan terbalik selepas dirempuh bas. FOTO Ihsan APM
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


SEORANG wanita parah apabila bas ekspres yang dinaikinya merempuh bahagian belakang sebuah lori membawa muatan tanah di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, Kuantan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengahari itu, lori berkenaan terbalik ke bahagian kiri jalan bagaimanapun pemandunya serta penumpang bas yang lain dilaporkan selamat.

Difahamkan bas berkenaan dalam perjalanan dari Terengganu menuju Segamat, Johor dan singgah di bandar itu untuk mengambil penumpang di Terminal Sentral Kuantan

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang berkata, mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an patah paha kiri.

“Mangsa duduk di tempat duduk hadapan sebelah kiri bas dan rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kakinya.

"Kita membantu mengeluarkan mangsa dan membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, mangsa mendakwa pemandu bas berkenaan menggunakan telefon bimbit sebelum kejadian itu berlaku.

"Mangsa mendakwa sudah menegur perbuatan pemandu bas berkenaan namun tidak dihiraukan sebelum kenderaan itu secara tiba-tiba merempuh belakang lori berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 6:36 PM