ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


TIGA lelaki yang disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya tujuh kes pecah rumah di sekitar kawasan Johor Bahru Utara dan Iskandar Puteri, Johor sejak awal tahun ini, ditahan polis, semalam.

Suspek yang berusia antara 18 hingga 27 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah bilik hotel bajet di Mutiara Rini, Johor Bahru, pada 8 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah yang diletakkan di atas tilam dan ada yang disembunyikan bawah tilam dalam bilik hotel bajet berkenaan.

"Antara barangan yang dirampas ialah lampu picit, pemotong besi, pemutar skru dan pisau lipat, malah kita juga merampas satu beg tangan wanita, lima kad pelbagai bank dan juga wang tunai berjumlah RM50, dipercayai hasil curi dalam kegiatan pecah rumah.

"Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek juga mendapat mereka positif methaphetamine dan kini ditahan untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, semakan polis juga mendapati dua daripada suspek itu mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Katanya, siasatan awal polis juga mendapati semua suspek mengaku terbabit dalam kegiatan pecah rumah sejak awal tahun ini dengan modus operandi mensasarkan kediaman jenis pangsapuri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 10:29 PM