Teks Ucapan Ketua Wanita Umno

UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN WANITA UMNO, DATUK SERI SHAHRIZAT ABDUL JALIL

Melonjak wanita ke persada kepemimpinan

Kaum Hawa kekal menjadi tonggak parti, negara serta pembangunan keluarga

ALHAMDULILLAH sudah 63 tahun Pergerakan Wanita UMNO melebarkan sayapnya. Dalam masa itu, kita sudah mengalami perubahan besar serta kemajuan yang luar biasa terutama dalam bidang pembangunan wanita dan keluarga. Wanita UMNO kekal menjadi tonggak parti dan negara, kandungkan saka, lahirkan baka, bangunkan keluarga, didik anak bangsa, jaga rumah tangga, kembangkan nilai agama. Walaupun naluri Wanita UMNO selembut sutera, tetapi semangat kita tetap waja. Halangan, rintangan, risiko – macam-macam kita hadapi. Cabaran politik tidak sedikit pun menggetarkan wanita dulu, kini dan insya-Allah selama-lamanya.

Atas semangat ini, sukacita saya maklumkan bahawa sejak kali terakhir kita berhimpun pada 2009, Wanita UMNO sudah mencatat beberapa pencapaian. Suara Wanita UMNO mendapat perhatian pucuk pimpinan parti. Pindaan Perlembagaan UMNO sudah mengarusperdanakan suara dan pembabitan wanita di peringkat pembuat keputusan induk dan bukan pada peringkat sayap saja. Antara lain:

Seorang lagi Wanita dilantik ke Majlis Tertinggi menjadikannya dua orang, berbanding sayap lain yang kekal satu saja. Perkembangan yang sama juga dilaksanakan di peringkat Jawatankuasa Bahagian dan Cawangan di seluruh negara. Pada peringkat bahagian, semua ketua wanita cawangan kini secara automatik adalah perwakilan ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian.

Dalam usaha mendekati rakyat, program kebajikan, kemasyarakatan dan kemanusiaan Wanita UMNO melalui Skuad Sayang berjalan dengan begitu cergas, deras dan pantas, merebak dan menyerap ke seluruh denyutan nadi masyarakat. Alhamdulillah, Skuad Sayang mendapat respons dan sambutan yang amat luar biasa bukan hanya daripada ahli Wanita UMNO, tetapi juga rakyat di peringkat akar umbi.

Skuad Sayang adalah tanda keprihatinan kita terhadap isu-isu dan permasalahan rakyat, di samping bertujuan memupuk nilai murni serta kasih sayang di segenap lapisan masyarakat. Kita juga sudah berjaya menggerakkan program Jalinan Rakyat sebagai pendekatan kita untuk mendampingi rakyat serta mendekatkan parti dengan pengundi.

Hari ini, Wanita UMNO tetap komited kepada perjuangan UMNO untuk agama, bangsa dan negara. Agenda Melayu yang berpayungkan Gagasan 1Malaysia akan menjadi perjuangan asas kita bagi menentukan UMNO terus menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional. Perjuangan UMNO inilah yang menjadi harapan, impian dan aspirasi seluruh bangsa Melayu. Pemimpin dan ahli UMNO mesti bersatu padu, bertekad untuk menentukan bangsa Melayu tidak berpecah belah yang akan membawa kepada kelemahan minda, kemunduran peradaban dan kehancuran bangsa Melayu. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Saya ingin mengingatkan dalam menjalankan semua program parti, kita mesti melebar dan mengembangkan sayap kita, pengaruh kita, kepemimpinan kita kepada kumpulan sasar terutama pengundi yang lebih ramai daripada apa yang kita capai pada hari ini. Mengambil iktibar daripada amanat Presiden UMNO pada Pelancaran Karnival Skuad Sayang 1Malaysia pada 17 Oktober 2010, beliau mengingatkan kita sekali lagi, bahawa di dalam menjalankan tugas, kita mesti menggempur semua kawasan, termasuk kawasan pembangkang tanpa rasa takut dan ragu-ragu, bersama-sama dengan rakan seperjuangan dalam parti komponen.

Kita tidak boleh lagi berada dalam apa yang dikatakan ‘comfort zone’ atau zon selesa. Saya selaku ketua, akan sentiasa mengupayakan puan-puan sebab saya hormat, saya percaya, saya yakin, saya sayang dan saya menaruh sepenuh harapan yang tinggi bahawa puan-puan akan membantu saya dan sama-sama kita membantu Presiden UMNO, Timbalan Presiden UMNO, Naib-Naib Presiden UMNO, pucuk kepemimpinan yang lain, parti komponen mahupun anak-anak kita dari sayap Pemuda dan Puteri untuk meningkatkan lagi sokongan rakyat kepada Barisan Nasional dan membawa kemenangan yang besar pada Pilihan Raya Umum ke-13. Ini hanya dapat dicapai jika kita menjalankan tanggungjawab tradisi kita menggerak-mesra di kalangan rakyat dan pengundi dengan cara yang lebih strategik, disiplin dan konsisten. Jangan kita kerja hanya separuh jalan ataupun lepas tangan kerana amanah dan harapan parti dan rakyat yang kita pikul amat berat sekali. Sebenarnya, rakyat jelata yang menjadi ‘silent majority’ menunggu, melihat, mendengar serta berharap bahawa kita akan menjalankan tugas dengan baik, bijak dan berhemah kerana mereka mahu terus menyokong kepimpinan Barisan Nasional.

Kita sebagai pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang bertanggungjawab mesti berhati-hati kerana iklim politik hari ini amat berbeza daripada dulu. Hari ini zaman sudah berubah – zaman inovasi, zaman ICT, zaman facebook, twitter, youtube. Malah, ideologi tradisional sudah hilang daripada landskap politik Malaysia. Dulu, politik negara kita diamalkan secara perlawanan antara politik haluan kiri dan haluan kanan, iaitu antara haluan kiri Sosialis (yang dikaitkan dengan fahaman Marxisme – Leninisme) dan haluan kanan yang mengutamakan nasionalisme, tradisi, keagamaan dan sebagainya. Itulah pemahaman politik dulu. Namun, wacana politik kini seolah-olah terbatas kepada perlawanan antara dua golongan kanan saja, iaitu antara pihak ultra-nasionalis dan pihak ultra-konservatif agama. Tidak hairanlah jika rakyat jelata terkeliru, apatah lagi meluat dan bosan, sehingga bersikap tidak peduli terhadap amalan politik nasional.

Wanita UMNO akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, hak-hak berkenaan dengan institusi Raja-Raja Melayu, dan melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana, antara Sabah dan Sarawak, berhubung dengan kuota jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa, permit atau lesen dalam pertukangan atau perniagaan, dan keistimewaan pendidikan, atau latihan, seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Wanita UMNO tidak akan berkompromi dengan tuntutan sesetengah pihak untuk mencabuli peruntukan yang termaktub. Pada masa sama, Wanita UMNO akan melindungi kepentingan sah kaum lain mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Sebagai pencinta negara serta srikandi berjasa, Wanita UMNO tidak akan membiarkan kemuliaan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dicabuli atau dicemari.

Alhamdulillah, pada saat genting ini, perjuangan kita mendapat suntikan semangat di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Beliau sudah mengilhamkan beberapa tonggak utama untuk Kerajaan iaitu Gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Model Baru Ekonomi; Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA); Bidang Keutamaan Ekonomi Negara (NKEA) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dan yang terbaru Bajet 2011 – ‘Transformasi ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi’. Kesemua inisiatif Kerajaan ini sudah dirancang dengan teliti oleh Perdana Menteri untuk memberi manfaat kepada rakyat khususnya, termasuklah wanita.

Justeru, wanita perlu menggunakan kekuatan minda, modal intelek serta daya kreativiti dan inovasi untuk bersama-sama mentransformasikan Malaysia bagi mencapai status negara maju dan ekonomi berpendapatan tinggi. Wanita adalah kuasa ekonomi dan aset penting kepada negara yang dapat menentukan kejayaan Program Transformasi Kerajaan dan seterusnya mewariskan kepada generasi yang akan datang.

Kunci kepada formula kejayaan menyeluruh ini ialah kesaksamaan gender. Pendekatan pembangunan bermatlamatkan kesaksamaan gender mahupun ‘gender equity’ dapat memastikan wanita dan lelaki bebas membangunkan keupayaan dan potensi masing-masing dan membuat pilihan tanpa ada halangan dari segi stereotaip gender, peranan gender yang rigid, serta prejudis. Kesaksamaan gender mahupun ‘gender equity’ tidak bermakna bahawa wanita dan lelaki menjadi sama rata, ataupun hak mana-mana gender diabaikan. Sebaliknya, pendekatan ini digandingkan dengan ‘gender equity’ sebagai perantara, di mana layanan dan peluang yang adil diberi berdasarkan keperluan, kepentingan dan aspirasi yang berbeza antara wanita dan lelaki.

Malaysia amat berbangga dengan pencapaian wanita dalam pelbagai bidang. Antara yang terserlah ialah bidang pendidikan, ekonomi dan kesihatan. Pada 2009, peratusan pelajar wanita pada peringkat diploma adalah 59.1 peratus, peringkat ijazah pertama adalah 62.5 peratus dan peringkat sarjana 54.2 peratus. Pada peringkat pembuat keputusan dalam bidang akademik di sektor awam, dua orang wanita menyandang jawatan naib canselor universiti (10 peratus), 11 orang (19.6 peratus) sebagai timbalan naib canselor, manakala pensyarah bertaraf profesor seramai 366 orang (22.5 peratus) dan 1,349 orang lagi (37.4 peratus) bertaraf profesor madya.

Saya berazam untuk memperjuangkan supaya ada lonjakan wanita, terutama Wanita UMNO, ke persada kepemimpinan negara. Saya bertekad untuk menentukan empat sektor yang dianggap kritikal mesti ada peningkatan penyertaan wanita iaitu:

  • Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan;
  • Kepemimpinan tertinggi parti sama ada di pusat, negeri dan bahagian;
  • Badan-badan Berkanun dan Universiti;
  • Sektor awam dan sektor swasta

    Saya dan Ahli Exco Wanita mesti berani memperjuang dan menyediakan ‘prasarana’ dan ‘lebuh raya’ untuk wanita melonjak ke satu tahap kepemimpinan yang membanggakan, misalnya menjadi menteri besar, ketua menteri, pengerusi perhubungan negeri dan jawatan tinggi dalam parti. Ia akan dijadikan warisan saya untuk Wanita UMNO keseluruhannya pada zaman serba moden dan progresif ini. Jika Wanita UMNO bersiap sedia, dan kita menang Pilihan Raya Umum ke-13, saya percaya ia tidak mustahil boleh berlaku di era kepemimpinan Najib kerana beliau seorang ‘visionary’ yang mampu dan berani untuk mengupayakan wanita.

    • PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjabat tangan dan mengangkatnya sebagai tanda bersatu serta menunjukkannya kepada perwakilan dan pemerhati ketika meninggalkan dewan perhimpunan di PWTC. FOTO Bazuki Muhammad
      PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjabat tangan dan mengangkatnya sebagai tanda bersatu serta menunjukkannya kepada perwakilan dan pemerhati ketika meninggalkan dewan perhimpunan di PWTC. FOTO Bazuki Muhammad