Isnin,01 September 2014

1,681 graduan kejururawatan ikuti temu duga SL1M

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil 1,681 graduan lepasan diploma kejururawatan daripada institut pengajian tinggi swasta (IPTS) melalui proses temu duga Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) yang dilaksana pada 10 hingga 12 November ini di seluruh negara.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Sri Liow Tiong Lai berkata, program berkenaan adalah khusus bagi lepasan diploma yang masih menganggur, bagi mengatasi masalah kekurangan jururawat di hospital dan klinik kerajaan.


Menurutnya, ia adalah usaha kerajaan memperkasakan graduan dengan kemahiran dan pengalaman klinikal yang meningkatkan kebolehpasaran mereka memperoleh pekerjaan selepas tamat tempoh pendedahan realiti industri ini.

“Graduan yang tamat ikuti SL1M boleh terus diambil bekerja di hospital atau klinik berkenaan atau memohon berkhidmat di tempat lain dengan pengalaman yang diperoleh melalui program ini.


“Kami harap ia menarik minat hospital dan klinik menyertai program ini sebagai tanggungjawab sosial, selain diberikan insentif Potongan Cukai Berganda,” katanya dalam kenyataan media.


Liow berkata, graduan yang terpilih ditempatkan di hospital atau klinik swasta berdaftar setahun bagi melatih kemahiran insaniah menerusi program latihan dalaman di pusat kesihatan berkenaan.

Katanya, program ini dilancarkan Disember ini bersama dengan penyerahan surat lantikan kepada graduan jururawat yang berjaya dalam temu duga itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/31
`