Sertai komuniti myMetro

login|daftar
Khamis, 23 Februari 2012

‘Rindu tangisan Muzaffar’

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Asmah Rusman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: “Kami akan merindui tangisan Muzaffar kerana dia seorang bayi yang kuat menangis. Kehilangannya sangat dirasai,” kata Mohd Faizal Jaafar, 32, sambil menahan tangisan.

Faizal yang ditemui di rumahnya di Jalan AU5 Taman Keramat, di sini, memberitahu dia menyedari perubahan sikap arwah anaknya itu sejak Isnin lalu namun tidak menyangka arwah akan pergi meninggalkan mereka buat selamanya-lamanya.


Dalam kejadian kelmarin, dua bayi, Muzaffar Mohd Faizal, berusia tiga bulan dan Ariff Amsyar, tujuh bulan, meninggal dunia akibat tersedak susu ketika berada di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Taman Permata, di sini.

Faizal dan isterinya Rohana Ahmad, 27, yang bekerja sebagai pereka dalaman dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Nia Amani, 15 bulan dan Muzaffar, tiga bulan.


“Arwah adalah anak kedua kami dan dilahirkan normal. Dia seorang bayi yang kuat menangis sejak lahir dan akan merajuk apabila lambat memberikan susu.


“Saya suka mengusiknya dan akan menciumnya beberapa kali sehingga dia menangis hampir setiap hari selepas pulang bekerja. Namun, Isnin lalu selepas pulang bekerja kira-kira jam 7.30 malam, saya terus mendapatkannya yang sedang tidur dan menciumnya tetapi tiada tindak balas daripada arwah,” katanya.

Beliau seorang pengurus projek di sebuah syarikat swasta di Sungai Besi, dekat sini, berkata dia menyangka perubahan sikap anaknya itu sebagai perkara biasa.


“Bagaimanapun, semalam (kelmarin) saya berada di Alor Setar, Kedah atas urusan kerja dan terkejut sebaik mendapat panggilan daripada isteri kira-kira jam 3 petang mengenai kejadian menimpa arwah. Saya kemudian bergegas pulang ke ibu kota dan segera ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Menurutnya, arwah baru sebulan dihantar ke pusat asuhan berkenaan namun sebelum ini, dia pernah menghantar anak sulungnya itu ke pusat asuhan sama tahun lalu dan kini sudah dijaga ibunya.


Arwah Muzaffar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Lembah Keramat, AU5 Taman Keramat, di sini. Sementara itu, bapa Ariff Amsyar berusia tujuh bulan, Ruhi Budiman Shamsuri, 35, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada seorang pengasuh yang memintanya datang ke klinik kerana anaknya sedang menerima rawatan.


Katanya, dia yang bekerja ketika itu meminta isterinya, Azinowaty Abd Aziz, 31, pergi ke klinik itu terlebih dulu sebelum dia turut bergegas ke lokasi sama.


“Saya tiba di klinik itu kira-kira jam 4 petang iaitu kira-kira setengah jam selepas menerima panggilan itu.


“Sebaik tiba, saya dan isteri diberitahu anak kami sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang, semalam.


Menurutnya, anaknya itu tidak mengalami sebarang masalah kesihatan dan berada dalam keadaan sihat ketika dihantar ke pusat asuhan berkenaan.


Katanya, pengasuh berkenaan ada menghubungi isterinya melalui telefon bimbit kira-kira jam 9 malam kelmarin dan menceritakan situasi sebenar kejadian itu.


Bagaimanapun, Ruhi enggan mengulas lanjut mengenai perbualan itu dan hanya memberitahu akan berbincang dengan keluarga sama ada akan mengambil tindakan ke atas pusat asuhan itu.



Kongsi artikel ini menerusi media sosial



IKLAN




f