SAYA berusia 41 tahun, masih bujang dan sukar mencari teman lelaki. Bukan kerana memilih, tetapi tidak yakin untuk mengenali lelaki. Saya pernah bertunang 16 tahun lalu, tetapi malang menimpa apabila saya terbabit dalam nahas jalan raya.
Kemalangan itu menyebabkan kecacatan kekal di mana saya tempang kaki kiri. Sebaik mendapati saya cedera dan kini bagai orang kurang upaya, saya ditinggalkan tunang.
Alasan diberikan keluarganya ialah tiada persefahaman dan jodoh. Bagaimana ada jodoh kalau tunang terbaring di katil tidak pernah dilawati? Hanya Allah SWT tahu perasaan saya ketika itu. Ibu menangis dengan dugaan yang bertimpa-timpa.
Saya reda dengan ketentuan ini dan walaupun terlalu perit untuk diterima, saya berusaha berfikiran positif. Namun, di sudut hati saya, masih ada keinginan untuk berpasangan sebagaimana adik beradik lain.
Namun siapalah mahu mengahwini saya yang serba kekurangan ini. Kadangkala saya menangis mengenangkan sikap bekas tunang meskipun ia sudah lama berlalu. Terkilan bercampur kecewa, itu yang saya rasakan.
Masih adakah peluang untuk saya membina keluarga sendiri? Mungkin sekarang masih ada ibu bapa untuk menemani saya tetapi apabila mereka tiada kelak, dengan siapa pula saya hendak menumpang kasih?
MURNI
Sepang, Selangor
Dang Setia tidak melihat kejadian menimpa saudari sekadar musibah. Ia bagaikan petunjuk paling berharga dan seharusnya dilihat sebagai ramalan situasi bakal dilalui seandainya saudari kekal mengahwininya.
Bayangkan situasi jika saudari mengahwininya dan ada anak. Adakah bekas tunang (yang ketika itu suami) sudi menjaga saudari?
Justeru, jangan kesali setiap qada’ dan qadar kerana Allah lebih mengetahui yang terbaik buat hamba-Nya.
Seperti mana Luqman Al Hakim, ahli bijak pandai tersohor pernah disebut namanya dalam al-Quran, menjawab pertanyaan seorang hamba Allah yang mempertikaikan kejadian buah ceri di pohon besar manakala buah tembikai di dahan renek.
Dia mengembara dengan hamba Allah itu dan berhenti berehat seketika di pohon ceri. Sebaik melelapkan, Luqman menjolok segugus buah ceri lalu menimpa sahabatnya. Terbangun sahabatnya kerana terkejut.
Lantas, Luqman menjawab pertanyaan sahabatnya dengan persoalan berbunyi apakah akan terjadi jika buah pohon besar ini adalah tembikai.
Bukan buah atau pohon menjadi perkiraan di sini, tetapi Dang Setia ingin gambarkan bahawa setiap ‘siratul’ (jalan) yang ditentukan Allah selalunya mempunyai mesej indah buat hamba-Nya yang sabar.
Cuma saudari perlu memandang kejadian buruk yang menimpa saudari secara realistik dan optimistik. Tidak lupa juga, bukakan sebahagian diri untuk memulakan perkenalan dengan lelaki supaya saudari punya ruang memulakan hubungan cinta baru.
Jangan dikenang kekasih lama, sebaliknya buka buku baru supaya impian saudari untuk punya keluarga sendiri tercapai. Insya-Allah jodoh yang menanti saudari jauh lebih baik daripada sebelum ini.
SEREMBAN: Sebuah kereta merempuh sebuah rumah di Taman Tiroi Labu, Jalan Seremban-Labu malam tadi ...