Rabu,20 Ogos 2014

‘Kehidupan penjara ubah saya’

SHAH ALAM: “Kehidupan dalam penjara menjadikan saya insaf dan sedar ilmu satu-satunya jalan untuk saya mengubah hidup menjadi insan lebih baik,” kata bekas banduan di Penjara Kajang antara penerima Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011.

Muhammad Zainal Ariff Mat Zain, 23, memperoleh 6 A dalam matapelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains, Perdagangan dan Tasawwur Islam serta 1B dalam Matematik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011.


Muhammad Zainal dipenjarakan pada Jun 2008 di penjara Kajang dan dibebaskan Oktober tahun lalu berkata, ketika pertama kali menjejakkan kaki di penjara dia mulai sedar pendidikan mampu mengubah hidupnya.

Katanya, dia tekad mengambil SPM selepas mengetahui penjara menyediakan peluang banduan melanjutkan pelajaran di Sekolah Integriti Kajang.


“Saya tidak menyangka ada sekolah dalam penjara dan dari situ saya bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan.


“Dulu saya melepaskan peluang belajar kerana desakan hidup, kini saya ingin mengorak langkah dan mencapai cita-cita menjadi akauntan,” katanya ketika ditemui media di Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPS), di sini, semalam.

Zainal yang tidak pernah bersekolah dari tingkatan satu hingga tiga menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2010 dan SPM pada tahun lalu mencatatkan keputusan yang cemerlang iaitu 6A dan 1B.


“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai penjara dan guru yang sudi membantu dan akan memohon untuk menyambung pelajaran di universiti awam,” katanya.

Turut berkongsi kegembiraan, Tiara Asim, 18, yang menjadi pelajar Orang Asli terbaik dalam SPM 2011 bagi seluruh Selangor dengan mencatat 4A dalam pelajaran Sejarah, Perdagangan, Geografi dan Sains.


Tiara yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil, Sepang, bercita-cita menjadi juruterbang.


Katanya, bukan mudah untuk berjaya dan kunci kepada kejayaan ialah tidak malu untuk bertanya pada guru dan rakan jika tidak memahami sesuatu topik.


“Setiap hari saya mesti berjumpa dengan guru jika terdapat sebarang kemusykilan ketika guru mengajar. Cikgu juga sangat baik dan suka membantu pelajar,” katanya.


Dalam majlis itu, seramai sembilan penerima yang mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam SPM hadir untuk menerima anugerah disampaikan Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mad Yunus.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/22
`