Isnin,22 September 2014

‘Hadiah paling istimewa’

KUALA LUMPUR: “Inilah hadiah hari jadi paling istimewa dalam hidup saya. Terima kasih kepada Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) kerana membantu membawa pulang ayah dengan selamat. Kami sekeluarga berharap dia segera sembuh,” kata Suraya Sujak, 30, anak Brigedier Jeneral (B) Datuk Ir Ahmad Sujak Bon, 66, bekas pegawai tinggi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Usahanya mendapatkan bantuan KP1M untuk membawa pulang bapanya ke tanah air selepas diserang angin ahmar ketika berada di Bogor, Indonesia membuahkan hasil semalam apabila kelab berkenaan menerusi Lembaga Persahabatan Indonesia-Malaysia (Prima) menguruskan semua keperluan sebelum dibawa pulang ke negara ini menerusi penerbangan sewa khas.


Suraya berkata, bapanya ke negara jiran itu untuk mengikuti kuliah agama pada 8 Jun sebelum diserang angin ahmar, Khamis lalu dan keadaan kesihatannya dilaporkan semakin membimbangkan menyebabkan keluarga membuat keputusan untuk membawanya pulang.

“Kami sekeluarga dimaklumkan perlu membayar RM75,000 untuk penerbangan sewa khas dari Jakarta ke Kuala Lumpur selain kos perubatan selepas ayah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Rumah Sakit Puri Cinere, Jakarta, Jumaat lalu.


“Biarpun kami sudah mengumpulkan wang pembiayaan itu, ia masih belum cukup menyebabkan saya mencari jalan untuk meminta pertolongan Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim bagi membawa ayah pulang. Kepulangan ayah adalah hadiah hari lahir saya yang kebetulannya hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui ketika menyambut ketibaan bapanya di Lapangan Terbang TUDM Subang, semalam.


Hadir sama, Abdul Azeez, Timbalan Setiausaha Agung Prima, Chairul Anhar dan isteri Ahmad Sujak, Datin Asma Mohd Said.

Menurut Suraya, bapanya menyertai kumpulan tabligh selepas bersara dari TUDM memang menghidap komplikasi penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/06/19
`