Ahad,13 Julai 2014

‘Siti Khuzaimah ‘dipaksa’ naik helikopter’

PETRA JAYA: Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan Gita ketika jenazah mangsa nahas helikopter Siti Khuzaimah Annuar, 27, di Sungai Lupar dan Lingga, pagi Jumaat lalu, tiba untuk disemadikan, petang semalam.

Terdahulu jenazah dibawa ke rumah keluarganya di Lorong Haji Babel, Samariang untuk disembahyangkan pada jam 12.45 tengah hari sebelum dibawa ke tanah perkuburan pada jam 2 petang.


Tunang Siti Khuzaimah, Mohd Faitullah Ali, 28, dilihat mengiringi jenazah dari Rumah Mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) sehingga ke tanah perkuburan. Bagaimanapun, dia enggan ditemubual media.

Turut mengunjungi keluarga mangsa Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah; Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri.


Ibu Mangsa, Hashimah Fadzli, 51, berulang kali menyatakan anaknya ‘dipaksa’ menaiki helikopter itu walaupun mangsa rasa kurang senang kerana cuaca buruk.


Selain panggilan terakhirnya, mangsa turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbunyi ‘doakan saya selamat pergi dan pulang’ kepada ibunya sebelum menaiki helikopter berkenaan.

“Bila membaca SMS itu, saya sudah dapat rasakan ada sesuatu tidak kena kerana tidak pernah arwah menghantar SMS seperti itu kepada saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/23
`