Reka bentuk cerun bukit baru

Reka bentuk cerun bukit baru



Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, reka bentuk baru cerun itu perlu memenuhi garis panduan Perancangan Pembangunan di kawasan Bukit dan Cerun Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2010.


“Reka bentuk ini perlu bergantung kepada zon penampan dan penahan tembok yang akan ditentukan DBKL berdasarkan faktor keselamatan serta kajian tanah cerun,” katanya selepas mengadakan mesyuarat yang dihadiri agensi terbabit dan pemaju Bukit Setiawangsa.


Katanya, DBKL turut memberi pertimbangan khusus dengan segera meluluskan reka bentuk cerun sebaik ia diteliti oleh jawatankuasa bertindak khas yang dianggotai Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM), bahagian cerun Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains, serta perunding pihak pemaju.


“Kos pembaikan cerun bukit Setiawangsa akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pemaju,” katanya.


Dalam kejadian 28 Disember lalu, benteng konkrit bukit berkenaan runtuh menyebabkan sebuah banglo terjejas teruk selain itu, 283 penghuni yang terbabit juga sudah diarahkan berpindah membabitkan tujuh banglo, 58 rumah teres dua tingkat dan 13 lot kedai.


Ahmad Phesal berkata, DBKL juga akan bekerjasama dengan polis untuk menentukan penghuni terjejas bagi membolehkan mereka mengemukakan tuntutan kepada pemaju dan jumlahnya bergantung kepada rundingan serta persetujuan dua pihak.


“Penghuni yang berpindah dibenarkan pulang selepas kerja membaikpulih cerun itu dijangka selesai hujung bulan ini namun tarikh kebenaran akan diputuskan DBKL nanti,” katanya.