‘Kucing jinak’

‘Kucing jinak’

Susunan Siti Salmiah A Hamid
salmiah@mediaprima.com.my


Tidak dinafikan, harimau dan sami di Kuil Harimau itu mempunyai hubungan yang sangat unik.

Berkemungkinan ia menjadi jinak sama ada dilahirkan di dalam kurungan atau sudah dibela dan dijaga sejak bayi lagi.

Seperti yang ditunjukkan dalam gambar, pelancong dan kakitangan boleh bersama haiwan terbabit dengan lebih dekat berbanding haiwan liar lain di dunia.

Toleransi haiwan ini terhadap manusia membuatkan Kuil Harimau di Wilayah Kanchanaburi iaitu kira-kira 80 kilometer dari ibu negara Bangkok terkenal dalam kalangan pelancong.

Ia turut disenaraikan sebagai salah satu tarikan pelancongan terbesar di Thailand.

Salah satu gambar menunjukkan sami terbabit bergurau dengan sang harimau sambil meletakkan tangannya di dalam mulut haiwan berkenaan.

Gambar yang lain pula jelas menunjukkan haiwan yang sama beraksi manja dengan mata tertutup sambil menjelirkan lidahnya.

Kebanyakan pelancong sanggup datang beribu-ribu batu jauhnya semata-mata untuk mendekati haiwan besar yang gagah ini.

Seorang pengunjung bertuah apabila dapat meluang­kan masa membantu anak harimau yang masih menyusu daripada botol. Sebahagian lagi bermain bersama pe­ngunjung di dalam kolam air.

Pada mulanya, Kuil Harimau yang dibina pada 1999 berperanan sebagai hutan perlindungan tetapi mula berubah apabila anak harimau yang pertama dibawa dan dijaga oleh sami terbabit.

Sejak itu, ia berkembang dan menjadi rumah perlindungan kepada 90 ekor harimau.

Bayaran masuk yang dikenakan atau sebenarnya berupa derma adalah sekitar 1,000 baht (RM105.67), memboleh­kan pengunjung melawat tapak kuil dan berpeluang memasuki tempat perlindungan Tiger Canyon.

Tiger Canyon lebih kepada sebuah kuari yang ­menempatkan harimau yang dirantai di bawah tanah.

Sekiranya pengunjung ingin bergambar secara dekat bersama harimau, bayaran tambahan dikenakan.

Namun santuari terbabit tidak terlepas daripada kontroversi apabila masyarakat dunia mempersoalkan bagaimana haiwan terbabit diuruskan.

Pada tahun kebelaka­ngan ini turut tercetusnya persoalan mengenai sedatif yang diberikan kepada harimau supaya kelihatan jinak dan mudah dikendalikan pelancong tetapi dinafikan penghuni kuil terbabit.

Kumpulan sami ini mendakwa, haiwan liar itu menjadi tenang kerana dibela dan dijaga sejak kecil.

Isu pemuliharaan kucing besar Asia bakal menjadi agenda ke-16 pada persidangan International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora.

Pada majlis pembukaan persidangan, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra untuk pertama kalinya berikrar menangani dan mengakhiri isu perdagangan gading.

Perdagangan gading di Thailand adalah sah di sisi undang-undang namun kumpulan penyokong hidupan liar mengatakan gading Afrika diseludup ke pasaran tempatan.

Justeru, permintaan tempatan yang mening­kat turut menambahkan lagi kes pemburuan haram yang terburuk di sub Sahara Afrika selama dua dekad. - DM