Jumaat,03 Oktober 2014

‘Kami sedia bantuan’

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

Kuala Lumpur: Syarikat penerbangan tambang murah tempatan, AirAsia Bhd (AirAsia) menafikan dua beranak yang juga pelanggannya yang dilarang menaiki pesawat di Lapangan Terbang Ho Chi Minh, Vietnam Sabtu lalu, ditinggalkan tanpa sebarang pembelaan.

Sebaliknya Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar berkata, kedua-dua mereka, Izan Suhaila Mohd Ali, 36, dan anaknya Maryam Sofea Mohd Reza, 14 bulan, yang menghidap cacar air ditawar bantuan termasuk penginapan dan penerbangan pulang percuma.

“Pada hari kejadian wakil kami menyediakan bantuan diperlukan ibu dan anak terbabit, malah kami turut membuat persediaan menerbangkan mereka kembali ke tanah air bersama dua lagi orang dewasa yang menemani mereka secara percuma.

“Kami juga menawarkan untuk menguruskan penginapan hotel dan pengangkutan, namun mereka mengesahkan mempunyai apa yang diperlukan untuk berada di Ho Chi Minh City,” katanya. dalam kenyataan semalam.


Kisah Izan Suhaila dan anaknya, Maryam Sofea yang dihalang menaiki pesawat AK1455 ke Kuala Lumpur tersebar luas di media sosial apabila wartawan TV3 Mazidul Akmal Sidek yang kebetulan berada di tempat kejadian menyiarkannya di blog beliau.


Aireen menjelaskan pihaknya bertindak demikian mematuhi garis panduan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung langkah pengurangan risiko penyakit berjangkit dan penumpang yang mempunyai simpton tidak sihat perlu menunda perjalanan mereka.

“AirAsia mematuhi peraturan dan piawaian kesihatan global apabila tetamu menghidap cacar air hanya dibenarkan terbang lima hari selepas simptom pertama (ruam) muncul dan harus memiliki sijil perubatan atau surat doktor mengesahkan layak melakukan perjalanan.

“Ini untuk mengelakkan risiko terhadap 175 tetamu lain dalam penerbangan sama kerana kami mempunyai tanggungjawab memastikan keselamatan serta kesejahteraan semua penumpang.

“Untuk itu juga AirAsia berhak menafikan penumpang yang menghidap penyakit berjangkit atau kronik daripada menaiki penerbangan,” katanya.

Menurutnya, dalam kes Maryam Sofea, bayi itu disahkan doktor bertugas di lapangan terbang sebagai tidak berada di tahap kesihatan dibenarkan untuk menaiki penerbangan, malah dia juga didapati dibawa untuk perjalanan hanya tiga hari selepas simptom pertama muncul.

Katanya, tanda-tanda seperti demam, mata berair, hidung berair dan ruam di kebanyakan bahagian badan kelihatan menyebabkan doktor membuat pengisytiharan berkenaan.

Justeru beliau menegaskan pendapat perubatan daripada seorang penumpang mendakwa dirinya seorang doktor mengatakan Maryam Sofea sesuai untuk terbang, tidak boleh diterima pakai.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21
`