Selasa,22 Julai 2014

‘Balik Kampung’ melekat di jiwa

Sejak minggu lalu, lagu raya mula me­nguasai radio, TV serta dimuat naik dalam laman sosial seperti Facebook dan sebagainya, malah beberapa pusat beli-belah sudah mula memasang lagu raya seawal minggu pertama Ramadan lagi.

Lagu raya malar segar yang sudah berusia lebih 20 hingga 30 tahun seperti Dendang Perantau (P Ramlee), Selamat Hari Raya (Saloma), Selamat Hari Raya (Ahmad Jais), Aidilfitri (Sanisah Huri), Seloka Hari Raya (Hail Amir dan Uji Rashid), Suasana Hari Raya (Sharifah Aini), Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Sudirman) dan Musafir Di Aidilfitri (S Jibeng) tetap diminati hing­ga sekarang baik daripada orang muda, remaja atau budak-budak.

Selain lagu ini, lagu Balik Kampung daripada Allahyarham Sudirman Haji Arshad antara yang wajib didengar setiap kali Syawal menjelma. Keseronokan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfit­ri diterjemahkan dengan cukup baik dalam lagu dan lirik ciptaan Sudirman ini. Bagi anak rantau, mendengar lagu ini membuatkan mereka tidak sabar mahu pulang ke kampung halaman masing-masing.

Namun, Balik Kampung sebenarnya berbeza berbanding lagu raya lain sedia ada kerana ia asalnya bukan dicipta sebagai lagu raya, sebaliknya adalah lagu biasa.


Pengurus Strategik Domestik Warner Music Malaysia, Larry Yusof berkata, Balik Kampung dimuatkan dalam album studio ke-11 Sudirman berjudul Lagu Dari Sebuah Bilik yang dipasarkan pada 1984.


“Waktu itu saya bertugas di unit promosi syarikat rakaman EMI Malaysia dan kami memang tidak mempromosikan lagu Balik Kampung sebagai lagu raya. Ia hanya sebahagian daripada lagu Sudirman yang memang sinonim dengan lagu yang dekat dengan rakyat biasa. Lagipun ketika itu Sudirman sudah memiliki lagu raya yang kuat iaitu Dari Jauh Ku Pohon Maaf ciptaan S Atan,” katanya.

Larry berkata, kira-kira dua tahun selepas itu barulah Balik Kampung diterima sebagai sebahagian daripada lagu raya apabila penyampai radio di RTM kerap memutarkan lagu berkenaan setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Secara perlahan-lahan, Balik Kampung akhirnya melekat di jiwa pendengar sebagai salah satu lagu raya ‘evergreen’ hing­ga hari ini. Liriknya yang menceritakan keseronokan anak rantau yang mahu pulang ke kampung dilihat cukup sesuai dengan gambaran kemeriahan sambutan Aidilfitri yang memang sinonim dengan aktiviti balik kampung,” katanya.

Larry berkata, dia pasti Sudirman tidak mencipta lagu ini khas untuk sambutan Aidilfitri, sebaliknya sebagai salah satu lagu untuk albumnya yang berkonsepkan lagu rakyat. Malah, tidak ada langsung perkataan Aidilfitri, Syawal atau Ramadan dalam lagu ini bagi menggambarkannya sebagai lagu raya.

Menurutnya, Sudirman sendiri lebih suka mengetengahkan lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf sebagai lagu raya berbanding Balik Kampung. Disebabkan itu, Balik Kampung tidak pernah dimuat­kan dalam album kompilasi Aidilfitri terbitan EMI seperti Bersama Di Hari Raya pada 1985, Pop Pilihan Aidilfitri (1986), Varia Pop Aidilfitri (1988), Salam Aidilfitri (1990) dan Citarasa Emas Aidilfitri (1991).

“Ia hanya dimuatkan dalam album kompilasi Aidilfitri Sudirman berjudul Balik Kampung pada 1993 iaitu kira-kira setahun selepas beliau meninggal dunia.

Selepas album ini, Balik Kampung tidak ketinggalan dimuatkan dalam setiap album kompilasi Aidilfitri terbitan EMI hingga sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/06
`