Jumaat,01 Ogos 2014

404 terima pingat, darjah kebesaran Johor

JOHOR BAHRU: Seramai 404 individu akan dikurniakan darjah dan pingat kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar ke-54 pada majlis istiadat yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar bermula jam 8 pagi ini.

Anakanda baginda, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim akan mengetuai majlis penerimaan berkenaan diikuti adinda beliau, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar yang masing-masing menerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK I). Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan pingat Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua, Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang membawa gelaran Datuk kepada tiga penerima iaitu Pengarah Grup Gerak Khas, Kem Iskandar Mersing, Brig Jeneral Effendi Ab Karim; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor, Daing A Malek Daing A Rahman.


Seramai 16 lagi menerima anugerah Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga, Setia Mahkota Johor (SMJ) termasuk Pegawai Kewangan Negeri Johor, Marsan Kassim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Norizan Kulob; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Burhan Amin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Elias Hasran. Selain itu, semua pegawai daerah di Johor turut menerima anugerah SMJ diketuai Ismail Karim (Kota Tinggi), Abdul Karim Abu Bakar (Kluang), Abdul Rahman Mohamed Dewam (Muar), Abdul Wahab Ridwan (Batu Pahat), Muji Salimon (Pontian), Kamarudin Abdullah (Kulaijaya), Amran Abdul Rahman (Johor Bahru), Mohd Nasir Abdul Salam (Mersing), Abdul Rahim Nin (Segamat) dan Ab Han Ramin (Ledang).

Turut menerima anugerah sama Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor, Chong Chee Han dan kakitangan Istana Pasir Pelangi, Ali Ismail.


Selain itu, 28 individu menerima Pingat Lama dan Baik Dalam Perkhidmatan (PLP), 261 penerima Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) dan 91 penerima Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Ketiga (PIS III).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22
`