Rabu,01 Oktober 2014

7,315 kerja kosong

KUALA LUMPUR: “Peluang ini sememangnya saya nantikan dengan harapan memperoleh kerjaya yang sesuai dengan kelayakan dan minat saya, tambahan pula sudah dua bulan saya menganggur,” kata pengunjung Program Penempatan Pekerjaan (3P) dan Azam Kerja 2010, Nurul Syazwani Zumri, 23, semalam.

Program tahunan anjuran Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Lumpur kali keempat bagi 2010, bermula selama dua hari sejak kelmarin, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Lembah Pantai, di sini.


Menurut Nurul yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, program berkenaan wajar diadakan terutama lepasan universiti yang sering mengalami kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

Katanya, selain mendapat penerangan lanjut daripada pihak majikan, peluang untuk mengetahui kekosongan jawatan juga tinggi berbanding carian menerusi Internet.


Pelajar jurusan elektrik dan elektronik itu juga berharap melalui program berkenaan, dia mendapat peluang pekerjaan di samping mengurangkan statistik graduan menganggur.


Sementara itu, pelajar lepasan Sijil Sistem Komputer, Mohd Aditia Mohd Isa, 19, berkata dia tiba seawal jam 9 pagi di tapak pameran berikutan terlalu teruja untuk mengetahui peluang pekerjaan dalam bidang pengkomputeran.

“Sebelum ini, saya pernah mencari kerja melalui Internet, namun peluang tidak begitu baik apabila segelintir majikan meletakkan syarat pengalaman sebelum diambil bekerja.


“Berbeza pula, pekerjaan yang ditawarkan di program ini apabila pemohon yang berkelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga mempunyai peluang,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Pengarah JTK Kuala Lumpur, Khamis AR Majid mengakui menerima sambutan memberangsangkan daripada masyarakat apabila setiap kali program dianjurkan.


Menurutnya, tujuan program berkenaan diadakan adalah membantu golongan berpendapatan rendah dan pencari kerja mendapatkan pekerjaan lebih baik selain meningkatkan pendapatan isi rumah.


Katanya, seramai 430 pengunjung yang datang ke tapak program, kelmarin dan menjangkakan lebih ramai akan hadir sebelum ditutup berikutan sebanyak 7,315 pekerjaan ditawarkan.


Katanya, pelbagai jenis pekerjaan ditawarkan kepada pengunjung dari peringkat operator pengeluaran hingga pengurusan, malah ia terbuka kepada semua peringkat umur serta masyarakat termasuk ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan surirumah.


Orang ramai yang tidak berkesempatan mengunjunginya, masih berpeluang berbuat demikian apabila Program 3P dan Azam Kerja 2010 bakal diadakan di Pasar Seni pada 18 dan 19 Disember nanti.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/12/06
`