PENYEDIA rumusan komunikasi bersepadu terkemuka tempatan, Maxis Berhad (Maxis) komited melengkapi pelajar Malaysia dengan teknologi terkini serta kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dengan peserta lain dari seluruh dunia dalam era baru digital.
Dalam memenuhi impian yang sejajar dengan wawasan kerajaan untuk mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi, Maxis bekerjasama dengan Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan (KPKK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), menganjurkan kem tahunan ASEAN Cyberkids Camp (ACC) di Cyberview Lodge Resort & Spa di Cyberjaya pada 21 hingga 27 November lalu.
ACC 2010 dengan tema 'Our Children, Our Future' adalah program yang terus menjurus ke arah merapatkan jurang digital di antara atau dengan komuniti Asia Tenggara untuk berkongsi masa depan serantau, di samping mempromosikan kepelbagaian serta kesepaduan di kalangan remaja Asean.
Maxis bersama KPKK dan SKMM menjadi hos kepada 91 pelajar Asia Tenggara dan Asia berumur antara 13 hingga 16 tahun serta 11 guru dari Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Brunei, Myanmar, Cambodia, Vietnam, Lao PDR dan Sri Lanka.
Peserta diberi peluang melihat teknologi komunikasi masa depan dan kaedah pembelajaran baru abad ke-21 menggunakan platform mudah alih.
Kem itu juga disasarkan untuk memperluaskan serta mendapatkan pandangan mengenai pelbagai kemungkinan teknologi komunikasi yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat tempatan negara masing-masing.
Penganjur ACC mahu pelajar terbabit berinspirasi untuk menggunakan teknologi, mengamalkan pemikiran kreatif dan meneruskan inisiatif pertumbuhan sahsiah diri ke atas kehidupan seharian yang akan mencetus inovasi dan memulakan transformasi positif di negara asal mereka.
SEREMBAN: Sebuah kereta merempuh sebuah rumah di Taman Tiroi Labu, Jalan Seremban-Labu malam tadi ...