Selasa,02 September 2014

Afiera main air mata

Oleh Norhadiani Baharom

Biarpun sekadar memegang watak pembantu, kemunculan filem 99 Kali Rindu yang bakal melewati pawagam pada 9 Mei 2013 ini, sangat penting buat pelakon baru Afiera Riana Agoes, 21, apatah lagi ini adalah filem pertama yang dibintangi.

Memegang watak sebagai Zazlina, pengidap barah hati, bicara Afiera nyata cabarannya tidak mudah apabila kebanyakan babak membabitkan adegan air mata.

Justeru, dia bersedia dikritik jika persembahan lakonannya dikatakan kaku malah mengakui tanpa asas lakonan dan pengalaman, dia sendiri dapat merasai kekurangan itu.

“Saat saya mempersetujui membintangi filem ini, saya sudah bersedia untuk di kritik. Saya cuba mengambil setiap komen yang positif untuk memperbaiki lakonan saya pada masa-masa akan datang,” katanya.


Akui Afiera, dia tidak pernah menjangka diberikan watak pembantu kerana

dia pernah menyuarakan hasrat kepada pengarah filem itu, Azahari Zain yang juga pensyarahnya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk mencuba watak sampingan saja.

“Abang Azahari adalah pensyarah dalam jurusan perfileman sewaktu saya dalam pengajian diploma sebelum menyambung pengajian peringkat ijazah dalam jurusan Pengiklanan Komunikasi Massa.

“Ketika menjadi penuntut abang Zack (Azhari), saya tertarik untuk mendalami bidang seni lakonan dan melihat bagaimana pembikinan sesebuah drama mahupun filem di buat.

“Justeru, saya maklumkan kepada abang Zack yang saya ingin berlakon tetapi mahu timba pengalaman dengan watak kecil terlebih dulu. Bagaimanapun, sewaktu dia menghubungi saya sekali gus menawarkan filem 99 Kali Rindu saya terkejut kerana watak yang diberikan adalah watak pembantu.

“Semasa di set penggambaran saya akui alami kesukaran untuk menangis. Saya tidak tahu untuk pura-pura menangis sehingga saya meminta abang Zack memarahi saya,” katanya turut terbabit dalam pembikinan filem Perempuan Mukasurat Tujuh arahan Pierre Andre yang dijangka penayangan tahun ini.

Afiera menambah, Adey Syafrien yang memegang watak Miqdad dan menjadi abangnya dalam filem ini banyak memberi bimbingan untuk dia menghayati watak Zazlina.

“Abang Adey kata, saya dulu macam awak bahkan lebih kaku daripada lakonan awak. Tetapi lama-kelamaan apabila ada sedikit pengalaman, akan ada peningkatan pada lakonan,” katanya ditemui di Majlis Prebiu 99 Kali Rindu yang diadakan di Cineleisure The Curve, Selasa lalu.

99 Kali Rindu adalah rungkaian terhadap filem 7 Petala Cinta yang menceritakan konflik percintaan tiga hati di mana Qalbie (Wawa Zainal) seorang DJ radio yang jatuh cinta kepada Ustaz Attar (Aeril Zafrel) terkenal dengan keupayaannya menyampaikan nasihat sehingga menyentuh perasaan pendengar.

Manakala Zazlina yang putus harapan untuk hidup akibat penyakit barah dihidapinya mula menampakkan semangat baru selepas mengenali Attar. Siapa di antara dua wanita ini yang berjaya mencuri hati Attar, saksikan filem arahan Azahari Zain ini pada 9 Mei nanti.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/01
`