Sabtu,30 Ogos 2014

Agromas mampu bersaing

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Usaha Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjenamakan produk usahawan di bawah satu bumbung meningkatkan keupayaan syarikat berskala kecil.

Buktinya, produk Agro Malaysia (Agromas) yang dibangunkan lebih 10 tahun lalu itu kini mampu bersaing dengan jenama terkenal dengan pulangan jualan bernilai RM46 juta tahun lalu.

Bermula dengan lima produk termasuk jem, Sri Kaya Madu dan tepung, Agromas yang dijenamakan semula sekitar 2009 kini diiktiraf barangan berkualiti.

Seramai 37 usahawan terbabit dalam program itu dengan mengeluarkan 68 produk makanan.


Pengarah Kanan Bahagian Proses FAMA Pauzi Yaman berkata, jenama Agromas diwujudkan bagi membantu produk usahawan tempatan.


“Meskipun tumpuan FAMA kepada pembangunan urus niaga segar, keperluan terhadap industri asas tani diperluaskan kepada pembangunan usahawan.

“Di situ, kami nampak cara bagaimana nak memajukan produk usahawan di pasaran.

“Dulu, produk dihasilkan hanya dalam botol kecil, namun kualitinya dipertingkatkan termasuk mengambil kira pembungkusan dan logo,” katanya.

Katanya, dalam memastikan produk terbabit kekal dihati pelanggan FAMA memberi keutamaan kepada pemilihan logo Agromas.

Agromas mementingkan sijil halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Lebih 3,000 usahawan berminat menyertai produk Agromas, namun hanya 37 saja dipilih kerana kami mementingkan kualiti,” katanya.

“Meskipun tidak meletakkan harga yang rendah pada produk, kualitinya diberi keutamaan,” katanya.

FAMA melakukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) terhadap produk keluaran usahawan Agromas merangkumi ujian makmal dan mereka bentuk pembungkusan.

Bersesuaian dengan pertambahan bilangan usahawan, FAMA meletakkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) agensi itu bagi sasaran jualan tahun ini berjumlah RM50 juta.

“Kami boleh berbangga kerana produk FAMA kini menembusi pasaran Brunei dan Singapura,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22
`