Khamis,24 Julai 2014

Al Hafiz ‘Super Papa’

Oleh Saiful Affendy Sapran

Johor Bahru: Penjaga gawang Johor Darul Takzim (DT) Al Hafiz Hamzah berharap dapat membantu Harimau Selatan menjulang trofi Piala FA ketika bertemu Kelantan pada final, Sabtu ini sekali gus memberi hadiah terbaik untuk anaknya yang terlantar di hospital akibat masalah paru-paru.

Ketika rakan sepasukan menanggung tugas berat pada dua perlawanan penting termasuk bertemu FELDA United pada saingan Liga Super hari ini, Al Hafiz sebenarnya menggalas tugas lebih berat menjadi bapa kepada Muhammad Adam Farish.


Anak sulungnya yang berusia setahun lapan bulan itu terpaksa berulang alik ke hospital kerana masalah paru-paru dan baru beberapa hari lalu dimasukkan semula ke hospital kerana masalah sama.

Al Hafiz mengakui dugaan ditanggungnya ketika ini menguatkan lagi semangatnya untuk beraksi pada tahap terbaik apabila bertemu Kelantan.


“Doktor beritahu penyakit anak saya memerlukan masa untuk sembuh. Sokongan keluarga, penyokong serta anak sebenarnya memberi dorongan kepada saya untuk memberikan yang terbaik pada setiap perlawanan.


“Sekiranya diturunkan pada final, saya harap dapat mempamerkan aksi terbaik tapi sekarang tidak mahu terlalu memikirkan sangat perkara itu.

“Yang penting perlawanan bertemu FELDA esok (hari ini) kerana saingan Liga Super juga penting untuk kami,” katanya.


Dia yang baru semusim bersama JDT juga enggan terlalu memikirkan mengenai penjaga gawang lawan, Khairul Fahmi Che Mat yang mempunyai reputasi hebat selaku penjaga gol nombor satu negara.

“Seperti yang saya katakan tadi, itu semua bukan masalah utama tapi yang penting apabila orang beri kepercayaan, kita perlu bermain bersungguh-sungguh.”

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24
`