Jumaat,21 Februari 2014

Alex, Razman tekad julang Harimau

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Dua pemain Pahang, Azamuddin Mohd Akil dan Mohd Razman Roslan yang membantu skuad Tok Gajah muncul juara Piala Malaysia kini berazam membantu Harimau Malaya layak beraksi di Piala Asia 2015.

Selepas menamatkan kemarau 21 tahun menjulang piala berprestij itu, Azamuddin dan Razman percaya Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal mampu melakukannya.


Azamuddin yang lebih mesra dengan panggilan Alex bersedia memberi komitmen 100 peratus terhadap skuad kebangsaan selepas mengikat Bahrain 1-1, 15 Oktober lalu.

“Saingan getir pasti dihadapi skuad negara tetapi jika prestasi mantap dipersembahkan, kita mampu menewaskan mereka yang turut merebut peluang ke Piala Asia.


“Kejayaan membantu Pahang muncul juara buat kali ketiga menambah lagi motivasi untuk mempamerkan aksi lebih baik,” katanya yang dinobat pemain terbaik final Piala Malaysia musim 2013.


Sementara itu, Razman yang sebelum ini diletakkan dalam senarai menunggu berjanji memberi sepenuh komitmen bagi memastikan Malaysia layak beraksi di pentas Piala Asia.

Bagaimanapun, dia mengaku perlu gigih berusaha untuk mendapatkan kepercayaan jurulatih memandangkan perlu bersaing dengan pemain pertahanan yang sudah lama bersama skuad negara.


“Apapun saya akan melakukan yang terbaik. Membantu Pahang muncul juara Piala Malaysia menambah lagi semangat saya untuk beraksi lebih bagus dalam skuad negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/07
`