Sabtu,23 Ogos 2014

Alex minta rakan usah leka

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Penyerang Pahang Azamuddin Mohd Akil (gambar) yang menjaringkan dua gol ketika membantu skuadnya menang 3-1 ke atas Sarawak pada separuh akhir pertama Piala Malaysia kelmarin tidak mahu rakan sepasukan terlalu gembira dengan keputusan itu.

Dia mengharapkan prestasi lebih baik dipersembahkan pada separuh akhir kedua di Stadium Negeri, Kuching Sabtu ini.


Menurutnya, kelebihan dua gol cukup melegakan tetapi tidak perlu berasa selesa memandangkan Sarawak berupaya mencatatkan kemenangan besar.

“Lawan berjaya menjaringkan satu gol akibat kelekaan dan kami perlu lebih fokus sepanjang 90 minit perlawanan apabila bertandang ke gelanggang lawan.


“Sebagai penyerang, saya akan berusaha menjaringkan gol sambil mengharapkan sokongan dan persefahaman mantap rakan lain,” katanya yang mesra disapa Alex.


Mengulas dua gol yang disumbangkan kelmarin, Azamuddin gembira kerana impiannya membantu skuad Tok Gajah melakar kemenangan di gelanggang sendiri tercapai.

Menurutnya, dengan persefahaman mantap dan semangat juang tinggi untuk memastikan impian ke final membantu skuad itu meraih kemenangan seperti diharapkan.


“Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang bertungkus lumus mencatat kemenangan walaupun misi ke final belum berakhir.

“Oleh itu saya harap aksi pasukan akan lebih mantap dalam usaha menyekat hajat tuan rumah untuk membuat kebangkitan,” katanya yang diumum pemain terbaik perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/21
`