Aliff Syukri pantang dicabar

Aliff Syukri pantang dicabar

Oleh ANIZA ZAINUDIN
anizazainudin@hmetro.com.my


Matanya liar memandang sekeliling untuk memastikan tuan rumah berada di dalam kediaman, salam dilontar dan pelanggan keluar sambil menyatakan keengganan mendengar penerangan mahupun berminat membeli barangan dibawa lelaki muda berwajah manis itu.

Mengerti penerimaan tuan rumah, dia kemudian menapak ke rumah seterusnya.

Itu antara cabaran awal pengasas produk kesihatan dan kecantikan D’ Herbs, Aliff Syukri Kamarzaman, 25, sebelum berjaya dalam perniagaan.

Bukan saja rumah kediaman menjadi lokasi perniagaan strategik, Pengarah Urusan D’ Herbs Healthy Sdn Bhd ini ketika itu sanggup memanjat tangga pejabat di sekitar Shah Alam, Selangor semata-mata ingin menjual produk kecantikan dan jamu keluaran syarikat terkenal.

Meskipun menyedari ada notis menyatakan ‘jurujual tidak dibenarkan masuk’, ia tidak menghalang Aliff Syukri mencari rezeki bagi menampung keluarga kecilnya dengan menggunakan waktu makan tengah hari untuk menjaja produk.

“Pada mulanya, ramai meragui keupayaan saya yang ketika itu berusia awal 19 tahun menjual produk kecantikan, malah ada juga yang khuatir untuk membeli kerana memikirkan penjualan berdasarkan keuntungan, bukan keberkesanan.

“Menjual produk kecantikan dan kesihatan bukan sesuatu yang mudah, namun saya jenis sukakan cabaran, malah pantang dicabar.

“Penting bagi saya membuat penerangan jelas mahupun demonstrasi kepada pelanggan, seterusnya berjaya menarik perhatian mereka terhadap barang dijual.

“Kadangkala pelanggan wanita khususnya suka mengusik saya, apatah ketika itu saya masih muda dan ada personaliti sebagai model. Namun bagi saya, ia sebahagian asam garam dalam perniagaan,” katanya yang pernah berkecimpung dalam bidang peragaan.

Anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan dan memaksa dirinya berusaha lebih kuat untuk mendapatkan sesuatu demi kepuasan peribadi.

Tinggal bersama nenek dan bersekolah di Sabak Bernam, Selangor, tidak menjanjikan anak ketiga daripada lapan beradik ini mendapat layanan serta kelebihan istimewa.

Kerap membandingkan diri dengan rakan sebaya yang mempunyai wang saku sekolah lebih 50 sen manakala Ariff Syukri hanya 20 sen membuatkan bapa kepada tiga cahaya mata ini mencari jalan untuk mendapatkan wang lebih.

Justeru, pokok mempelam yang menghiasi laman teratak nenek membuka peluang keemasan bagi Aliff Syukri mendapatkan perbelanjaan persekolahan tambahan.
Tanpa sebarang pertolongan, dia yang ketika itu berusia tujuh tahun memanjat pokok dan hasilnya dijadikan jeruk.

“Selalunya budak sekolah membawa satu beg sekolah untuk mengisi buku, saya pula membawa satu lagi beg tambahan memuatkan jeruk mempelam yang dijual pada harga antara 10 sen hingga 20 sen.

“Bayangkan sebelum bermula sesi persekolahan, rakan lain membeli pakaian baru tetapi saya terpaksa mengitar semula baju lama yang diberikan jiran, begitu juga basikal.

“Syukur permulaan ‘perniagaan’ itu memberi impak berkesan, sekali gus menambahkan keyakinan dan keberanian diri untuk melakukannya hingga ke peringkat sekolah menengah,” katanya yang pernah belajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Nibong, Sabak Bernam.

Menyedari bidang perniagaan mampu menjana pendapatan lumayan, Aliff Syukri meneruskan kerjaya sambilannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Gadong, Klang dengan menjaja barangan kosmetik dan aksesori seperti celak juga kerongsang yang dibeli secara pukal daripada pasar raya terkenal.

Menamatkan pengajian di peringkat A Level, lelaki ini kemudian memanfaatkan anugerah diberikan Allah SWT untuk bergelar model bagi menampung kehidupan dan pada masa sama, aktif menjual produk kecantikan wanita, termasuk jamu, secara sambilan yang diperoleh di Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur.

Berkahwin pada usia muda dan memiliki seorang cahaya mata ketika itu mendesak Aliff Syukri mencari pendapatan lebih. Selepas puas menjaja dari rumah ke rumah serta dari pejabat ke pejabat, bermodalkan wang simpanan dikumpul, dia menyewa sebuah kios kecil di pusat beli-belah di Subang Jaya, Selangor.

Setahun berhempas pulas memajukan kios, anak muda ini mengambil langkah drastik mencontohi pengeluar produk kecantikan kesihatan tempatan lain untuk mengeluarkan produk sendiri.

“Semua simpanan yang saya ada digunakan untuk menghasilkan produk jenama sendiri, jika langkah diambil ini tidak menunjukkan hasil, saya sedar risiko muflis. Selepas membuat kajian produk selama beberapa bulan, D’ Herbs mengeluarkan gincu kolagen pertama Malaysia.

“Pandangan saya, penting untuk menghasilkan satu inovasi baru bukan sekadar mengeluarkan produk sedia ada di pasaran. Permulaannya, saya melakukan semuanya sendirian dan tidak membenarkan isteri berhenti kerja.

“Saya lelaki muda dan memperkenalkan produk baru, jadi pasti sukar mendapat kepercayaan mana-mana stokis. Saya terpaksa memberikan produk secara percuma terlebih dulu tanpa bayaran, tetapi syukur apabila ia mendapat perhatian orang ramai,” katanya.

Pernah cuba mendapatkan pinjaman bank sebagai modal memulakan perniagaan namun ditolak dan dihamburkan kata-kata penghinaan kononnya dia tidak akan berjaya dalam bidang berkenaan.

Aliff Syukri berkata, pada peringkat awal, dia terpaksa mengelilingi satu negara untuk memperkenalkan jenama D’ Herbs. Dia adalah bos, pemandu, jurujual, ejen dan pegawai pemasaran dalam satu masa.

Menariknya, lelaki ini memiliki semangat kental, malah tidak malu mempromosikan jenamanya di pasar malam kerana dia percaya dapat menghasilkan produk berkualiti dan mampu dibeli setiap lapisan masyarakat.

Menggunakan strategi pengiklanan yang kuat, akhirnya kerja keras Aliff Syukri hampir setahun membuahkan hasil dan jenama D’ Herbs mula mendapat tempat dalam kalangan pelanggan.

Memulakan operasi sejak­ 2011, Aliff Syukri mampu berbangga apabila pasaran 50 produk D’ Herbs mula memasuki pasaran antarabangsa, termasuk Brunei dan Indonesia.

Mencontohi empayar gergasi seperti Avon, lelaki ini berharap dapat memperkembangkan nama D’ Herbs sebagai jenama global. Pada masa sama, beliau menyedari pelbagai inisiatif perlu dilakukannya, juga banyak cabaran bakal ditempuh kelak.