Amah dera anak majikan dipenjara

Amah dera anak majikan dipenjara

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Tertuduh, Yuliana, 23, dari Acheh, Indonesia membuat pengakuan bersalah terhadap kedua-dua tuduhan dan kelihatan bergenang air mata sebaik Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menghempas dan melambung seorang bayi, Mohamed Hareez Mohamed Zamri berusia empat bulan sebanyak sembilan kali sehingga mendatangkan kecederaan pada lengan dan kaki kanan bayi itu di sebuah rumah beralamat nombor 7, lorong Bukit Setongkol 38, Jalan Bukit Setongkol pada 15 Februari lalu jam 7.45 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, Yuliana dituduh menganiayai mangsa yang mana perbuatan itu mendatangkan kecederaan kepada mangsa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 pada lokasi dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu dia boleh didenda RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun.

Mohd Azhar menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi pertuduhan pertama dan lima tahun bagi pertuduhan kedua serta memerintahkan kedua-dua hukuman itu dijalankan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 15 Februari.