Khamis,28 Ogos 2014

Animasi Seefood raih 4 anugerah

Oleh Murshid Eunos

TATKALA ada pihak mempertikaikan kredibiliti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam memartabat­kan industri perfileman dan usaha mereka membawa karya tempatan ke pentas antarabangsa, institusi ini tidak ketinggalan dalam membuka ruang bagi menghargai penggiat seni khususnya dalam lapangan animasi.

Tidak hanya itu, Majlis Anugerah Animasi yang berlangsung baru-baru ini turut mengangkat objektifnya dalam mengiktiraf sumbangan penggiat seni animasi tempatan, sekali gus menyemarakkan semangat penggiat supaya menghasilkan lebih banyak karya bermutu.

Majlis anjuran julung kalinya oleh Persatuan Animasi Malaysia (Animas) itu berlangsung dalam serba sederhana di Dataran Karyawan Finas, Hulu Klang dengan menerima sambutan menggalakkan apabila sebanyak 90 penyertaan diterima pada peringkat awal bagi merebut pengiktirafan dalam 12 kategori.

Presidennya, Kamaruddin Ismail melihat penganjuran majlis anugerah berkenaan sebagai salah satu pemang­kin bagi menyokong per­kembangan industri animasi tempatan dan sepatutnya diadakan setiap tahun agar menjadi satu suntikan semangat buat penggiat.


“Semua calon dan penyertaan begitu baik dan punya kekuatan masing-masing hingga membuatkan barisan juri yang menilai berdepan dengan kesukaran dalam menentukan pilihan terbaik.


“Lantas, saya menyifat­kan lapangan seni animasi­ tempatan juga makin berkembang positif dan jika mengikut percaturan yang tepat, ia mampu pergi jauh setanding produk luar.

“Perancangan bagi menganjurkan majlis ini sudah lama kami susunkan. Mujur bantuan serta sokongan pihak Finas dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka lagi jalan agar ia berjaya direalisasikan,” katanya.

Tambah Kamaruddin, selain majlis anugerah, terdahulu Animas pernah menganjurkan pameran Animasi Menjana Kreativiti bersama pengisian seperti bengkel asas melukis, forum, klinik serta aneka program sepanjang sebulan.

Pada malam anugerah itu, karya Seefood terbitan Silver Ant menang besar apabila menerima Anugerah Animasi Terbaik selain tiga trofi lain termasuk Animator 3D Terbaik, Kompositpr/VFX Animasi Terbaik serta Montaj Animasi Terbaik.

Malah, karya yang mengam­bil masa lebih dua tahun untuk disempurnakan itu dianggap terbaik dengan kehebatan dan kelainan yang disuntik pada setiap ciptaannya.

Pengarah Animasi Silver Ant, Goh Aun Hoe menyifatkan kemenangan itu sebagai pencetus semangat kepada warga kerjanya untuk terus bekerja.

Katanya, penerbitan Seefood tidak semudah dilihat kerana menggunakan khidmat 35 pelukis animasi untuk merealisasikan produk layar perak Seefood dengan karya yang benar-benar mengikut imaginasi dan idea asalnya agar keseluruhan karya berdurasi 90 minit tayangan itu menjadi hebat.

“Pelbagai cabaran dan pengalaman kami hadapi sepanjang dua tahun menghasilkan Seefood namun semua itu adalah satu proses pembelajaran untuk kami. Saya harap ia dapat ditayangkan kepada umum Mac tahun depan.

“Saya berpuas hati dengan hasilnya dan apabila dipilih sebagai animasi terbaik, ia juga penghormatan kepada seluruh penggiat animasi tempatan,” katanya dengan gembira.

Pengarah Animasi Terbaik pula digondol Ayie Ibrahim menerusi produk sulung Tapir Reka Sdn Bhd, Zero Hero. Kisah berkaitan semangat tapir, Zero Hero yang pada pencalonan awal lalu me­ngetengahkan episod projek ‘pilot’ mereka pula turut membawa pulang satu lagi pengiktirafan, Animator 2D Terbaik.

Finalis lain yang menyerlah adalah animasi berepisod, Boboiboy terbitan syarikat Animonsta yang mendapat pujian khalayak sebaik saja menemui penonton di kaca TV. Tidak hanya itu, Boboiboy turut menerima trofi Skrip Animasi, Muzik Tema serta Suara Latar Terbaik.

Animasi tempatan yang berjaya mencipta fenomena hingga merentas banyak pasaran antarabangsa, Upin & Ipin, diangkat sebagai penerima anugerah khas, Anugerah Khas Pencapaian Animasi.

Animasi diterbitkan Les’Copaque Production cukup popular bukan saja
di kalangan kanak-kanak, tetapi juga dewasa.

Tiga trofi khas lain untuk penggiat yang memberi sumbangan kepada industri diberikan kepada kartunis Ujang atau Ibrahim Mohd Nor bagi Pereka Watak Animasi Fenomena; penyumbang suara latar kartun, Zainab Wahab (Suara Emas) dan Hassan Abdul Mutalib (Tokoh Animasi).


Senarai Pemenang Anugerah Animasi

  • Skrip Animasi Terbaik - Boboiboy
  • Rekaan Watak Terbaik - Tales of the Ages: Timun Mas
  • Rekaan Latar Belakang Terbaik - Saladin
  • Muzik Tema Terbaik - Boboiboy
  • Artis Storyboard Terbaik - Planet of the Reban
  • Suara Latar - Boboiboy
  • Animator 2D Terbaik - Seefood (Silver Ant)
  • Animator 3D Terbaik - Zero Hero (Tapir Reka Sdn Bhd)
  • Kompositor/VFX Terbaik - Seefood (Silver Ant)
  • Montaj Animasi Terbaik - Seefood (Silver Ant)
  • Pengarah Animasi Terbaik - Zero Hero (Ayie Ibrahim)
  • Animasi Terbaik - Seefood (Silver Ant)

    Artikel ini disiarkan pada : 2011/07/02
  • `