Isnin,22 September 2014

Anita Sarawak masuk rumah mewah

Oleh Norhadiani Baharom

BERCAKAP mengenai penghibur tersohor Anita Sarawak, banyak perkara yang hebat boleh dikaitkan dengan wanita penuh pesona ini.

Beliau bukan saja berbakat besar dan energetik ketika berada di pentas, tetapi juga seorang penterjemah fesyen yang unggul.

Kualiti paling mengagumkan, anak Allahyarhamah seniwati Siput Sarawak dan Datuk S Roomai Noor ini, insan yang cukup merendah diri selain komited dengan kerjaya seninya.

Betapa Anita begitu peduli akan tanggungjawab sebagai pengacara program baru di Astro Ria, Astana, dia membenarkan percutiannya dibebani tugasan.


“Walaupun agak senyap kebelakangan ini kerana bercuti selama dua bulan, kak Nita sebenarnya tetap bekerja. Tetapi bekerja melalui telefon di mana kak Nita selalu berhubung dengan produser program Astana termasuk tetamu jemputan kak Nita yang terbabit dalam program ini.


“Kak Nita tidak sedikitpun berasa terbeban, malah begitu puas dapat berkomunikasi dan membantu semua orang. Pulang saja daripada bercuti pada minggu kedua Aidilfitri yang lalu, segalanya sudahpun diuruskan produksi Astana dan penggambarannya dapat dijalankan tanpa sebarang masalah,” katanya.

Akui Anita, mengacarakan Astana satu pengalaman yang menerujakan apatah lagi pertama kali memperoleh peluang seperti itu kerana sebelum ini lebih tertumpu mengacarakan program bual bicara. Astana pula mengenengahkan konsep berbeza iaitu ‘lifestyle.’

“Kak Nita rasa bertuah dan kagum dapat memasuki rumah agam kepunyaan golongn hartawan, ahli perniagaan termasuk selebriti terkenal di negara ini. Semua mereka berjaya dalam bidang masing-masing.

“Setiap rumah menampil­kan konsep serta cita rasa berbeza. Ada yang mengenengahkan konsep zen, ada juga klasik dan kontemporari, tetapi masih mengekalkan gaya mewah.

“Isu yang dikemukakan setiap episod juga tidak tertumpu pada keunikan kediaman yang dikunjungi saja. Malah, Kak Nita turut menemubual tetamu Astana dan meminta mereka berkongsi kisah kejayaan dengan penonton di mana hal ini turut memberi inspirsi kepada Kak Nita sendiri.

“Bayangkan, mereka mampu memiliki kereta mewah bernilai jutaan ringgit. Kak Nita rasa, Kak Nita harus bekerja lebih keras lagi untuk memiliki kemewahan seperti mereka,” katanya.

Tegas Anita, program ini bukan untuk menunjuk-nunjuk kemewahan seseorang, tetapi ada mesej yang baik disebaliknya. Jika mahu memiliki kediaman mewah dan kereta mewah, kita harus bekerja keras.

“Walaupun semua tetamu Astana dikategorikan sebagai jutawan, mereka tidak pernah berhenti untuk mencari rezeki. Paling mengagumkan, mereka semuanya sangat merendah diri selain terbabit dengan kerja kebajikan,” katanya.

Melalui program ini, Anita berpeluang meninjau kediaman mewah dan menyaksikan sendiri kehebatan citarasa dengan memberi tumpuan kepada seni reka dan hiasan pilihan pemilik kediaman ini.

Astana yang mendapat tajaan Pensonic menonjolkan bahawa wang bukanlah penghalang kepada pemilik kediaman ini, tetapi apa yang mereka pentingkan ialah satu gaya hidup yang eksklusif dan selesa.

Terbahagi kepada tiga segmen menarik, penonton dibawa melihat kehebatan sesebuah kediaman. Kemudian Kak Nita akan menemubual pemiliknya sambil visual menarik turut disertakan.

Segmen kedua pula, berkongsi cita rasa reka bentuk dan hiasan dalaman termasuk perabot, aksesori dan peralatan eksklusif di dalam rumah serta tidak ketinggalan, sudut riadah seperti kolam renang, jakuzi, sauna dan gimnasium.

Sementara segmen ketiga membawa penonton dengan lebih mendalam berhubung gaya mewah yang menjadi pilihan pemilik dan keluarga mereka.

Pengurus saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, pemilihan Anita Sarawak sebagai pengacara amat bertepatan dengan konsep dan kehendak program berkenaan.

“Selain statusnya sebagai penyanyi dan penghibur bertaraf antarabangsa, Kak Nita mempunyai personaliti terbaik dan elegan serta sifatnya yang mudah mesra.

“Kerana kak Nita jugalah kami berpeluang merakamkan kediaman mewah milik ahli perniagaan secara eksklusif memandangkan kebanyakan mereka adalah kenalan rapat kak Nita sendiri.

“Jika tidak kerana bantuan kak Nita, mungkin program ini tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Ditanya, apakah langkah yang diambil bagi memastikan keselamatan tetamu undangan mahupun kehidupan peribadi mereka tidak menghadapi gangguan selepas penayangan program ini, Azlin memaklumkan, lokasi kediaman tidak didedahkan.

“Penggambaran di buat di dalam rumah dan halaman rumah saja. Kami tidak mendedahkan di mana lokasi kediaman. Semua ini sudah difikirkan untuk memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya.

Program 13 episod disiarkan setiap Ahad jam 7.30 malam mulai 12 Disember ini. Antara kediaman yang dikunjungi termasuk milik Linda Onn, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, Raja Rosley Raja Mazlan atau Pak Engku, Datuk Yusof Haslam dan Datuk Dr Maznah Hamid.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/11/30
`