Atasi sakit bersalin

Atasi sakit bersalin

Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my


Sebaik proses kehamilan berlaku, banyak perubahan dialami di segi fizikal, psikologi dan emosi di kalangan ibu yang bakal melahirkan anak. Lazimnya, bermacam-macam perkara difikirkan atau dirisaukan oleh bakal ibu muda.

Antara kebimbangan yang sering melanda adalah komplikasi dihadapi mereka dan anak serta kesakitan ketika bersalin. Kesakitan bersalin adalah fenomena semula jadi dialami setiap wanita yang ingin melahirkan anak.

Sakit bersalin dirasai kerana kontraksi uterus akibat pelebaran servik dan segmen bawah servik. Pengalaman ini tentunya tidak dapat dilupakan mereka seumur hidup kerana bagi setiap anak yang dilahirkan, belum tentu ibu terbabit akan melalui pengalaman serupa.

Setiap wanita yang menempuh pengalaman bersalin harus belajar cara berdepan situasi itu. Kesakitan bersalin memberi kesan kurang menyenangkan kepada deria, emosi mereka serta sangat subjektif.

Antara kesan sampingan dialami ibu ingin bersalin adalah tekanan darah tinggi, degupan jantung bertambah, tahap asid dalam badan bertambah tinggi, perut mudah kosong, mual dan muntah. Bayi pula kurang mendapat bekalan darah. Oleh itu, pengurusan atau kawalan kesakitan ketika di makmal bersalin adalah penting.

Pada peringkat pertama proses bersalin, kontraksi uterus berlaku dan servik mengembang. Peringkat kedua, uterus yang berada atas lapisan otot akan terus mengalami kontraksi dan otot perut menjadi tegang.

Ketika kontraksi, dinding rahim menjadi lembut bagi memudahkan bayi melalui jalan akhir seterusnya dapat melihat dunia.

Pakar bius Pusat Perubatan Sunway, Dr Wong Wai Hong, berkata faktor yang memberi kesan sakit bersalin kepada ibu adalah usia, kadar kontraksi rahim, peringkat bersalin dan perubatan serta masalah psikologi manakala bagi bayi pula, saiz dan kedudukan dalam kandungan mempengaruhi sakit bersalin.

“Dalam perkembangan perubatan, mengatasi sakit bersalin boleh dibahagikan kepada dua kaedah iaitu nonfarmakologi dan farmakologi.

“Kaedah nonfarmakologi dapat dilakukan melalui pendekatan psikologi, seperti hipnoterapi dan pendekatan sensori seperti akupunktur serta intervensi bukan manual seperti hidroterapi,” katanya.

Antara kelebihan kaedah nonfarmakologi adalah ia tidak menggunakan ubat. Mengatasi rasa sakit bersalin secara farmakologi iaitu menggunakan ubatan pula mungkin menimbulkan kesan sampingan jangka panjang pada bayi, pembengkakan pundi kencing ibu serta waktu bersalin lebih panjang.

Beliau berkata, akupunktur iaitu teknik perubatan menggunakan tusuk jarum dapat dimanfaatkan untuk mengurangkan rasa sakit ketika bersalin serta memendekkan masa bersalin.



Nonfarmakologi

  • tidak menggunakan ubatan dan intervensi, secara psikologi, membantu, ringkas, mudah, murah dan tidak invasif

  • mengurut menggunakan minyak atau krim membantu merehatkan otot dan memenangkan perasaan, manakala kaedah melahirkan anak dalam air yang banyak diamalkan di negara Barat mungkin mengundang risiko pendarahan, bayi tertelan air dan jangkitan

  • hipnoterapi pula dapat memberi ketenangan, mengurangkan perasaan takut atau kebimbangan dihadapi ibu

  • kaedah ini sesuai untuk peringkat awal proses bersalin

  • hasilnya pelbagai, bergantung kepada individu


    Farmakologi

  • membabitkan penggunaan ubatan atau intervensi

  • teknikal dan kepakaran diperlukan

  • di bawah pengawasan atau oleh pegawai perubatan terlatih

  • memberi kelegaan lebih baik

  • berisiko tinggi atau wujud komplikasi


    a) penyedutan gas ‘Entonox’

  • dikenali juga sebagai ‘gas ketawa’

  • ibu dalam kawalan sepenuhnya

  • kesan permulaan melegakan kesakitan yang cepat iaitu dalam masa beberapa minit

  • menyebabkan pening, mual dan sakit kepala ringan

  • kesan sampingan pada bayi dan ibu sangat minimum


    b) suntikan melega kesakitan

  • suntikan pada otot seperti bahu atau punggung

  • kesan permulaan untuk mengatasi sakit bersalin yang cepat serta mampu bertahan empat hingga enam jam

  • pening, mengantuk, mual, muntah, nafas perlahan dan tekanan darah rendah

  • bayi — kesannya, bayi bernafas perlahan, kurang menangis terutama jika dilahirkan terlalu dekat dengan jarak masa suntikan


    c) epidural

  • pilihan yang lebih berkesan

  • memasukkan tiub halus berhampiran saraf tulang belakang

  • penggunaan ubat kebas

  • hasil yang cepat dan mampu menahan sakit selama beberapa jam atau beberapa hari
  • jahitan luka, pembedahan kecemasan

  • tekanan darah menjadi rendah

  • rasa kebas

  • risiko mendapat jangkitan

  • sakit kepala

  • kecederaan saraf

  • menyebabkan sakit belakang

  • kecacatan tulang belakang yang teruk

  • pembedahan tulang belakang dengan implan

  • tekanan darah rendah

  • masalah perubatan — menyebabkan gangguan darah seperti berlaku pendarahan atau masalah jantung


    d) bius umum

  • digunakan untuk cesarean atau pembedahan lain

  • teknik melega kesakitan yang berkesan

  • suntikan untuk melegakan kesakitan menerusi pembuluh darah

  • tidak sedarkan diri



    Secara umumnya, apa pun teknik atau kaedah yang digunakan bagi mengatasi kesakitan ketika melahirkan anak mempunyai kelebihan dan risiko tersendiri.

    Kaedah farmakologi ada kesan sampingan atau komplikasi. Ia juga bergantung kepada kelengkapan disediakan hospital serta keperluan individu terbabit.
    Matlamat utama ialah keselesaan sebaik mungkin untuk ibu yang hendak bersalin.

    Kesimpulannya, kesakitan sesuatu yang tidak menyenangkan kepada ibu dan bayi. Pelbagai teknik atau pilihan untuk melegakan kesakitan disediakan.

    Intervensi awal dinasihatkan. Memanfaatkan kedua- dua kaedah iaitu nonfarmakologi dan farmakologi dalam melegakan kesakitan adalah digalakkan.