Ayam goreng RM1 seketul

Ayam goreng RM1 seketul

Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Secara rasional, tidak mungkin idea itu menguntungkan apatah lagi peningkatan kos bahan makanan ayam di pasaran.

Namun, Dikir Kapital Sdn Bhd, syarikat pembekalan produk makanan berasaskan ayam milik Bumiputera mempunyai formula rahsia mengekalkan harga itu.

Menggunakan ‘ramuan rahsia’ dalam pembuatan tepung goreng, produk dipasarkan menerusi kios bertemakan Ayam Goreng Satu Malaysia.

Bagi memberi orang ramai berniaga terutama golongan asnaf, golongan kelainan upaya (OKU) dan belia, syarikat itu menyediakan pakej lengkap kios berharga RM3,500.

Modal dilaburkan itu berbaloi kerana disediakan pelbagai kelengkapan seperti kios besi tahan karat, kanopi, tong ais, tong gas, generator, peralatan memasak, tepung rahsia, minyak masak, baju-T dan apron.

Pengurus pemasarannya, Affendie Iskandar Larahim berkata, syarikat yang ditubuhkan Jun tahun lalu menggunakan modal berbayar RM300,000.

Beroperasi di Jalan Medan Niaga 7, Medan Niaga Kuala Selangor, Selangor, syarikat itu dipelopori Pengarah Urusannya, Ahmad Pauzi Bahari, Pengarah Operasi, Rizma Salman Mahali dan Pengarah Kewangan, Mohd Hafizul Fahmi Mohd Ishak.

Beliau berkata, selain harga ayam yang murah, ramuan tepung rahsia menjadi identiti syarikat itu melariskan jualan.

“Idea menghasilkan konsep perniagaan ini lahir daripada Ahmad Pauzi, tujuh tahun lalu ketika terbabit dalam perniagaan ayam di utara tanah air.

“Dalam tempoh tiga tahun bekerja, dia tertarik dengan konsep menjual ayam goreng murah, RM1 seketul,” katanya.

Ahmad Pauzi kemudian melakukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) selama enam bulan sebelum menubuhkan syarikat itu.

“Kami tidak terjejas dengan harga ayam di pasaran kerana semua 12 bahagian yang dipotong dijual dengan harga sama.

“Bagi memastikan bekalan cukup, kami mendapat bekalan 10,000 ayam sehari daripada sebuah syarikat tempatan,” katanya.

Mengenai nama Ayam Goreng Satu Malaysia, katanya harga ditawarkan RM1, menjadikan ayam goreng itu mampu dibeli pelbagai bangsa.

“Produk kami satu-satunya yang termurah di pasaran. Selain itu rasanya enak, sedap dan lazat.

“Produk kami disahkan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.

Mengenai pakej kios katanya, konsep itu menyerupai konsep francais bagi membantu golongan sasar menambah pendapatan keluarga.

“Sejak dilancarkan Januari lalu, permintaan terhadap kios meningkat d seluruh negara. Buat permulaan kami menyediakan 200 kios.

“Sebanyak 10 kios dibuka di Kuala Selangor, Kapar, Sungai Besar dan Sungai Buloh Jeram, Selangor mendapat sambutan orang ramai,” katanya.

Syarikat itu turut membantu membiayai lesen perniagaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kami turut menyediakan leher, hati, pedal, kaki dan punggung ayam untuk dijual di kios dan hasil daripada jualan bahagian berkenaan boleh digunakan membeli minyak masak dan gas,” katanya.

Perancangan jangka panjang, katanya syarikat itu berbincang dengan bank untuk mendapatkan Skim Mikro Kredit menerusi Bajet 2013.

“Kami juga berbincang dengan Telekom Malaysia (TM) mewujudkan pusat careline bagi menerima aduan pengguna atau jika ada peniaga menaikkan harga ayam goreng itu.

“Kami juga bercadang membuka cawangan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan,” kata–nya.

Hubungi dikirkapital@gmail.com dan facebook di ayam goreng satu malaysia untuk maklumat lanjut.