Khamis,02 Oktober 2014

Azamuddin tamat kemarau jaringan

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Penyerang Pahang Azamuddin Mohd Akil gembira selepas membantu pasukannya membelasah Tentera Darat, 7-1 untuk layak ke suku akhir Piala FA, kelmarin.

Lebih manis, pemain kelahiran Lipis itu berjaya menamatkan kemarau gol apabila menjaringkan empat daripada tujuh gol itu.


“Saya tidak sangka dapat menjaringkan empat gol. Kejayaan ini menyuntik motivasi saya menjaringkan lebih banyak gol terutama dalam saingan Liga Super.

“Dalam lapan perlawanan liga, saya gagal melakukannya dan kini lebih bersedia apabila bertemu ATM, esok.


“ATM bukan lawan mudah, saya harap rakan lebih waspada dan fokus untuk memastikan tiga mata milik pasukan,” katanya.


Sementara itu, jurulatih Dollah Salleh memuji persembahan mantap anak buahnya pada perlawanan itu biarpun bertemu pasukan Liga FAM.

Menurutnya, pemain mempamer tahap permainan terbaik untuk memastikan Pahang layak ke suku akhir.


“Pada masa sama, saya sudah mengingatkan pemain supaya tidak memandang rendah keupayaan lawan kerana yang penting layak ke suku akhir.

“Saya harap pemain bijak memanfaatkan peluang apabila bertemu Sime Darby FC kerana lawan sentiasa membuat kejutan,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28
`