Rabu,30 Julai 2014

BOLA: Harimau Muda A sertai liga Australia

Nay Pyi Taw: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menghantar Harimau Muda A beraksi di Australia tahun depan.

Perkembangan berkenaan disahkan Setiausaha Agungnya Datuk Hamidin Mohd Amin yang melihat pendedahan berterusan di luar negara diperlukan skuad muda negara.


“Harimau Muda A akan menyertai liga di Queensland bermula Mac hingga Oktober tahun depan selepas mendapat jemputan Persatuan Bolasepak Australia.

“Harimau Muda B pula bersaing di Liga Singapura manakala skuad bawah 21 tahun negara akan ke Vion, Slovakia pada Julai hingga November selepas bersaing dalam Piala FAM,” katanya.


Hamidin turut berkata, pasukan yang terbabit dalam liga peringkat Asia Tenggara iaitu Asean Super League (ASL) tidak membabitkan pasukan yang beraksi di Liga Malaysia.


“Kami sudah mencapai persetujuan dengan sebuah pasukan dan pada dasarnya mereka sudah mencapai persetujuan. Namun kami masih mencari satu lagi pasukan bagi memastikan dua pasukan akan mewakili negara.

“Pasukan ini juga tidak dibenarkan menggunakan pemain sama yang beraksi di liga domestik bagi mengelakkan perjalanan liga terganggu,” katanya.


Saingan ASL yang dirancang bermula 2015 dijangka membabitkan sekurang-kurangnya 12 pasukan sudah mendapat persetujuan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Saingan akan merebut dua piala iaitu liga dan kalah mati yang dijangka bermula pertengahan tahun 2015 agar tidak menganggu perjalanan liga domestik semua negara yang bertanding, pengadil dan penggunaan stadium.


Satu pengumuman rasmi dijangka akan dilakukan selepas mesyuarat majlis Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) yang akan dipengerusi Sultan Ahmad Shah esok di Nay Pyi Taw.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20
`