Khamis,02 Oktober 2014

Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) terkini

PUTRAJAYA: Sepanjang tempoh 24 jam lalu, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 51 buah stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang direkodkan pada jam 5.00 petang, 13 Julai 2011 mencatatkan 19 kawasan berada pada tahap baik dan 31 kawasan berada pada tahap sederhana. 1 stesen berada pada tahap tidak sihat iaitu Jalan Tasek, Ipoh dengan IPU 139.

Kemerosotan kualiti udara mula dikesan semenjak 3 Julai 2011 di sekitar jam 7 pagi dan berterusan sehingga hari ini di beberapa kawasan seperti di Ipoh dan Sri Manjung, Perak dan di sekitar kawasan Lembah Klang. Menurut ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi (JMM) terdapat bandar-bandar utama di Semenanjung dan Sabah yang tidak menerima hujan.


Laporan satelit yang dikeluarkan oleh “ASEAN Specialised Meteorological Centre” pada 13 Julai 2011 menunjukkan imej satelit NOAA-18 telah mengesan sebanyak 105 bilangan titik panas di Sumatera. Bilangan titik panas yang dikesan dalam negara adalah 3 pada 13 Julai 2011.

Imej satelit tersebut menunjukkan asap jerebu dibawa oleh arah angin barat daya yang bertiup dari kawasan-kawasan titik panas di Bengkalis, Wilayah Riau, Sumatera menghala ke arah pantai barat Semenanjung Malaysia. Oleh yang demikian, keadaan berjerebu yang dialami terutamanya di sekitar kawasan pantai barat Perak dan Lembah Klang adalah disebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.


Laporan ASMC pada 13 Julai 2011 juga telah menunjukkan peta jerebu serantau peringkat sederhana telah meliputi sebahagian Wilayah Riau, Sumatera dan sebahagian pantai barat Semenanjung Malaysia terutamanya di pantai barat negeri Perak dan Lembah Kelang.


Orang ramai terus dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka. Orang ramai juga diminta berkerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/07/14
`