Isnin,14 Julai 2014

Bandar pintar

Oleh Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor

PETALING JAYA: Bersempena sambutan ulang tahun keenam bandar raya ini, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) komited meneruskan usahanya dalam menjadikan Petaling Jaya sebagai lokasi pembangunan terancang berasaskan konsep ‘Bandar raya Berdaya Huni’ (liveable city).

Perkara itu dicapai melalui perjanjian persefahaman (MoU) antara pihaknya dengan Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) bertujuan mewujudkan bandar pintar seiring dengan teknologi semasa.


Datuk Bandarnya, Datuk Roslan Sakiman berkata, sehubungan matlamat berkenaan, pihaknya akan mengutamakan keperluan dan kehendak penduduk di sekitar kawasan pentadbirannya supaya ia tidak menjadi projek yang tidak bermanfaat pada akhirnya.

“Seperti projek terdahulu, kami menggunakan pendekatan bersama iaitu mendapatkan pandangan daripada orang awam termasuk profesional supaya Petaling Jaya dapat menjadi bandar contoh kepada semua.


“Dengan termeterai MoU ini, satu lagi seminar kebangsaan akan diadakan iaitu bertemakan ‘Bandar Pilihan’ yang menjangkakan keputusan secara kolektif dapat dibuat kelak,” katanya pada sidang media selepas menandatangani MoU berkenaan, di sini, semalam.


Perjanjian ditandatangani Roslan dan Presiden MIP, Profesor Datuk Dr Alias Abdullah dan disaksikan Timbalan Datuk Bandar, Puasa Md Taib serta Timbalan MIP, Zahiruddin Zainal.

Beliau berkata, seminar membabitkan 350 peserta antaranya pemaju perumahan, golongan profesional, pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil antarabangsa dan orang awam itu membolehkan pihaknya mendapat pandangan mengenai bandar itu termasuk cadangan pembangunan dan pembaharuan bersesuaian.


“Sebelum ini bengkel pra seminar diadakan bersama sektor swasta serta persatuan penduduk dan beberapa cadangan sudah diperoleh antaranya menjadikan ia bandar selamat dengan kemudahan prasarana bersesuaian, jaringan jalan raya sistematik dan kemudahan pengangkutan awam efisien,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/06/21
`