KEJAYAAN ahli Kelab Kuda Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Darulaman (SMKBD), Jitra dalam beberapa pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa menyemarakkan lagi semangat pelajar sekolah berkenaan menyertai kelab terbabit.
Walaupun kejayaannya tidak begitu membanggakan, ia menyuntik semangat pelajar membabitkan diri dalam sukan lasak itu.
Guru penyelaras kelab, Suhaidi Sujak, berkata kelab itu bagi meluaskan lagi aktiviti di samping membina minat pelajar dalam sukan berkuda.
Selain menikmati keseronokan dan kemahiran menunggang kuda dengan baik, pelajar berpeluang mengetahui cara mengurus serta memahami sikap mamalia itu.
"Ia satu cara pelajar dapat merapatkan hubungan mereka dengan kuda selain menguasai haiwan itu ketika menunggang," katanya.
Disebabkan kelab ini sangat mementingkan disiplin di kalangan ahlinya, ia diharap dapat memberi kesan kepada pelajar supaya menanam sikap terpuji.
Ditubuhkan sejak 2005, Kelab Kuda SMKBD itu mendapat kerjasama Pusat Ekuin Darulaman dan Majlis Ekuin Malaysia. Dengan jalinan kerjasama itu, kelab diberi kebenaran untuk melakukan aktiviti di Pusat Ekuin Darulaman, Jitra.
Sesi latihan diadakan dua kali seminggu dengan ahli diajar teknik asas hingga ke peringkat menunggang sambil melompat pagar dan membuat bulatan.
Hasil latihan gigih, ahlinya terpilih mewakili Kedah ke Sukan Malaysia (Sukma) 2010 di Melaka nanti. Sebelum ini, mereka turut mewakili Sukma di Terengganu dan berjaya meraih pingat perak dalam acara individu.
Pelajar, Wan Aifaa Shafia Wan Mohd Sopi, 14, berkata minatnya dalam sukan itu bermula sejak kecil lagi. Selepas menyertai kelab itu, dia gigih menjalani latihan setiap minggu supaya dapat menyerlahkan bakatnya.
"Saya berjaya mendapat tempat kelima dalam acara perseorangan dan berkumpulan di pertandingan bertaraf antarabangsa di Penang Turf Club, tahun ini. "Kejayaan itu menyemarakkan lagi semangat saya untuk bertanding bagi persediaan Sukma 12 nanti," katanya.
Rakannya, Aida Amalina Abd Rahim, 14, berkata pada mulanya dia sangat takut untuk menunggang kuda. Bagaimanapun, minat yang mendalam membuatkan dia sanggup melupakan perasaan itu untuk menjadi penunggang kuda.
"Ketika berlatih, saya belajar menunggang kuda dengan bersungguh-sungguh dan berharap dapat mewakili negara satu hati nanti, apatah lagi kedua-dua ibu bapa banyak memberi dorongan," katanya yang menjadikan Qabil sebagai idola.
Seperti Wan Aifaa Shafia, Aida juga berjaya meraih kejayaan di Penang Turf Club dalam acara berkumpulan dan kini giat membuat persediaan untuk Sukma 12 tidak lama lagi.
Profil
NAMA SEKOLAH: SMK Bandar Baru Darulaman
TARAF: Gred B
PENGETUA SEKOLAH: Dewi Rosnah Radin Suhaidi
BILANGAN GURU: 96 orang
BILANGAN PELAJAR: 1,7000
NAMA KELAB: Kelab Kuda SMKBD
GURU PENYELARAS MERANGKAP JURULATIH: Suhaidi Sujak
TARIKH DITUBUHKAN: 2005
AHLI: 30 pelajar