Khamis,02 Oktober 2014

Bayi 16 bulan lemas di bilik air

Sungai Buloh: Seorang bayi lelaki maut selepas lemas di dalam bilik air taska di Saujana Utama, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa Aiman Jazil Rizal berusia 16 bulan, dikatakan merangkak ke dalam bilik air dan ditemui pengasuhnya dalam keadaan lemah.


Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, selepas memberi kanak-kanak itu minum susu pengasuh meninggalkannya seketika.

“Malangnya ketika pengasuh kembali, dia mendapati kanak-kanak itu tiada di tempat dia baring,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Katanya, pengasuh bersama pengurus taska mencari mangsa sebelum menemui kanak-kanak itu terbaring di dalam bilik air dalam keadaan tidak bermaya.


“Mereka membawa kanak-kanak itu ke klinik sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dengan sebuah ambulans, namun mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.

Katanya, keputusan bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas dan lemas.


Jenazahnya dituntut bapa mangsa sebelum dibawa ke Johor untuk dikebumikan di kampung halaman keluarga terbabit.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/11
`