Bersedia hadapi kecemasan

Bersedia hadapi kecemasan

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin
norlaila@hmetro.com.my


Bertahun-tahun berusaha mendapatkan anak, akhirnya anak kesayangan meninggal dunia akibat kecuaian kita sendiri. Suami isteri bagai orang bingung, semua kerja jadi serba tidak kena.

Memanglah, siapa yang tidak sayang anak dan lebih mengharukan tragedi seumpama itu sebenarnya boleh dielakkan. Kalau boleh seekor nyamuk pun tidak dibenarkan menghampiri buah hati kita itu.

Walaupun rumah menjadi tempat kita berlindung, tanpa disedari ia juga lubuk bencana. Banyak kelengkapan rumah sama ada perkakasan dapur, peralatan elektrik atau perhiasan boleh menjadi barang berbahaya termasuk permaidani kecil.Malah bagi kanak-kanak kecil, tangga juga boleh mendatangkan bahaya.

Insiden di atas antara kemalangan yang tidak disengajakan. Hati rasa lebih pedih tatkala membaca berita penderaan kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan sepanjang hayat.

Kecederaan fizikal akan sembuh dalam masa beberapa bulan tetapi kecederaan mental (trauma, sedih, takut, rasa rendah diri dan hilang kepercayaan terhadap orang dewasa) boleh berlanjutan sampai bila-bila jika tidak diberikan bantuan psikiatri dan sokongan moral.

Seperti yang penulis katakan tadi, kebanyakan kes kemalangan (menyebabkan kecederaan) di rumah boleh dielakkan jika ibu bapa, ahli keluarga dan penjaga mengambil langkah lebih berhati-hati.

Menurut Pakar Kanak-kanak Hospital Columbia Asia Setapak, Dr Khairul Zaman Omar, ada empat jenis kecederaan di rumah yang paling kerap berlaku pada anak-anak kita iaitu luka terbakar (melecur), luka, tercekik dan patah tulang.

A. Luka terbakar

Biasanya apabila bercakap mengenai luka terbakar kita terus membayangkan terkena api.

Sebenarnya luka terbakar tidak terhad kepada kecederaan terkena api saja kerana kulit akan mengalami kecederaan apabila terdedah kepada perubahan suhu yang ekstrem, sama ada terlalu panas atau sejuk. Luka terbakar boleh dibahagikan kepada lima jenis iaitu:

● Luka terbakar kering - Ini disebabkan api, tersentuh objek panas (alat elektrik, rokok) dan geseren sehingga kulit melelas.

● Lecur (lepuh) - Ini disebabkan wap, cecair (air, teh, kopi dan kuah) dan lemak panas.

● Luka terbakar akibat arus elektrik - Arus voltan rendah seperti digunakan perkakas domestik; arus voltan tinggi seperti dalam kabel elektrik dan petir.

● Luka terbakar akibat bahan kimia domestik (pengikis cat, soda kaustik, peluntur, pembersih berasid atau beralkali yang kuat dan racun rumpai)

● Luka terbakar radiasi - Selaran matahari (contohnya apabila kanak-kanak ditinggalkan dalam kereta di bawah cuaca panas) dan terdedah lama kepada sinar ultra lembayung.

Dr Khairul berkata, tahap kecederaan bergantung kepada tempoh kulit terkena punca kecederaan itu. Namun secara logiknya, lebih lama anak kita terkena punca kecederaan, semakin teruk keadaannya.

Luka terbakar boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu:

● Luka terbakar luaran - Melecur hanya pada lapisan kulit paling luar. Kedalaman kesan terbakar kurang daripada satu peratus atau
jika lebih mesti dibawa berjumpa doktor dengan segera. Kesan lecur ialah kulit menjadi merah, bengkak dan sakit.

● Luka terbakar separa tebal yang membabitkan lebih sembilan peratus kesan terbakar akan menyebabkan mangsa mengalami kejutan dan mesti dibawa berjumpa doktor secepat mungkin. Luka jenis ini membabitkan lapisan epidermis kulit yang mengakibatkan kesakitan dalaman dan melecur. Kulit menjadi merah, berdarah. Tisu yang rosak akan mengeluarkan air menghasilkan lecur.

● Luka terbakar tebal-penuh bermakna semua lapisan kulit terbakar dan rosak menyebabkan ia nampak berkilat, pucat atau hangus. Ada kemungkinan saraf, tisu lemak, otot dan salur darah turut mengalami kerosakan. Mangsa berasa terlalu sakit dan perlu dibawa ke hospital serta-merta. Jika luka terbakar melebihi 20 peratus, mangsa berhadapan dengan risiko kematian.

Bantuan kecemasan

Untuk memberikan bantuan kecemasan, seseorang perlu tahu menilai tahap luka terbakar yang dialami mangsa. Bagaimanapun jika ia membabitkan kanak-kanak, segera bawa ke hospital terdekat untuk diberikan rawatan secepat mungkin.

Untuk luka terbakar yang kecil dan sederhana, ibu bapa boleh menuangkan air sejuk (air paip) pada tempat yang cedera atau rendam dalam air selama 10 minit. Jika tiada air, sebarang cecair sejuk boleh digunakan termasuk susu kecuali minuman bergas atau berkarbonat.

Jangan gunakan air yang terlalu sejuk atau ais kerana ia akan menyebabkan kulit anak anda menggelembung. Tanggalkan semua perhiasannya seperti gelang, cincin, jam tangan, tali pinggang atau pakaian yang menjerut bahagian cedera sebelum ia membengkak.

Balut luka dengan kain

yang bersih, steril dan tidak berbulu. Jangan cuba memecahkan lecur, meletakkan plaster pada luka dan menyapu sebarang losen, balsam atau lemak. Walaupun kulit sudah menggelembung, ia ada fungsi tersendiri iaitu sebagai pelindung kulit yang berada di bawahnya daripada jangkitan.

Ada orang memberi petua untuk meletakkan gula atau madu pada kawasan yang cedera. Namun Dr Khairul tidak menggalakkannya kecuali madu yang dikeluarkan oleh syarikat farmaseutikal. Ini kerana gula dan madu ialah bahan yang sangat digemari oleh bakteria. Menyapunya pada luka seolah-olah menjemput jangkitan bersarang.

Bagaimanapun, anda boleh sapu gel penyejuk seperti gel aloe vera. Jika kecederaan disebabkan renjatan elektrik, padamkan dulu suis elektrik. Sapu gel penyejuk dan segera dapatkan bantuan.

B. Luka

Luka disebabkan terkena benda tajam sehingga mengakibatkan kulit calar atau terpisah. Tahap kecederaan bergantung kepada saiz dan bahagian yang mengalami luka.

Biasanya luka pada tangan dan kaki tidak serius jika dibandingkan dengan kecederaan di kawasan leher dan kepala. Sekiranya anda anda luka di leher dan kepala, bermakna anda perlu beri lebih perhatian.

Bagi luka berdarah yang kecil, cuci luka di bawah air mengalir. Tekap bahagian itu dengan kain atau tuala bersih dan tekan (pada tekanan sederhana) selama 10 minit untuk merangsang pembekuan darah yang seterusnya akan menghentikan pendarahan.

Jika lukanya lebih besar, tekap dengan kain bersih dan tekan selama 15 hingga 20 minit.

Selepas pendarahan berhenti, buang bahan asing yang ada pada luka itu. Tutup luka dengan kepingan kain bersih atau plaster tanpa pelekat. Jika luka besar dan dalam, sebaiknya bawa anak ke hospital untuk mendapat rawatan sewajarnya.

Kata Dr Khairul, jika anak demam, anda boleh berikan parasetamol. Namun anda perlu ingat untuk tidak menyapukan mentega, minyak, madu, gel aloe vera atau sebarang krim yang tidak
steril.

“Jika luka disebabkan besi atau kayu, bawa anak segera ke klinik atau hospital. Anak anda perlu diberikan suntikan antitetanus (kejang mulut atau kancing gigi). Ia bertujuan meningkatkan antibodi terhadap penyakit tetanus pada anak anda,” katanya.

C. Tercekik

Tercekik bermakna berlakunya sekatan pada saluran udara di bahagian atas disebabkan kehadiran benda asing sama ada dalam bentuk pepejal atau semi pepejal contohnya gula-gula, buah-buahan dan bijinya, jeli, kek, nasi dan bubur nasi.

Kanak-kanak lebih mudah mengalami masalah ini kerana saluran udara mereka berbentuk seperti kon terbalik (kecil di bawah) sedangkan saluran udara orang dewasa berbentuk silinder.

“Apabila kanak-kanak tercekik, dia perlu diberikan bantuan kecemasan secepat mungkin dengan mengeluarkan benda yang tersangkut dalam saluran udaranya. Kaedah bantuan ini berbeza mengikut berat badan dan umur kanak-kanak.

“Pada bayi, apa yang anda perlu lakukan ialah baringkan dia dalam keadaan meniarap di atas paha anda dan tepuk di belakangnya iaitu di antara tulang belikat. Tepuk pada kadar sederhana untuk mengeluarkan barang yang membuatkan dia tercekik,” katanya.

Untuk kanak-kanak berumur enam hingga tujuh tahun pula, peluk dia dari belakang dan tekan tangan anda di bawah tulang dadanya (bahagian yang lembut) dan tolak ke atas.

Kalau anda masih ingat, dulu ada iklan yang menunjukkan bagaimana seorang wanita muda membantu lelaki tua yang tercekik makanan ketika makan di restoran. Kaedah yang dipanggil Heimlich maneuver ini juga digunakan untuk membantu orang dewasa yang tercekik.

Jangan cuba korek benda yang tersekat itu kerana ia hanya akan memburukkan keadaan. Jika anda tidak tahu apa yang hendak dilakukan, segera bawa anak ke klinik berdekatan kerana keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan melebihi 10 minit. Anak anda akan mengalami sesak nafas dan boleh membawa maut.

“Kanak-kanak juga boleh tercekik susu terutama jika menyusu sambil berbaring.

Bukan tidak boleh baring tetapi pastikan bahagian atas badannya lebih tinggi (45 darjah) daripada badan bawah. Sama juga jika memberikan anak susu badan, pastikan anak berada dalam kedudukan betul dan selesa.

“Elakkan memberi anak makan ketika dia berbaring selain memastikan makanan itu cukup lembut untuk ditelan. Selain itu, satu kesilapan yang kerap ibu bapa lakukan ialah memaksa anak makan ketika dia menangis.

Ingat, jangan sekali-kali beri anak makanan ketika dia menangis kerana risiko untuk dia tersedak dan tercekik amat tinggi.

“Tercekik makanan semi pepejal lebih sukar untuk dibantu. Justeru, kena pastikan badan anak tegak ketika diberi makanan. Jika ada pembantu rumah, ajarlah pembantu kaedah yang betul untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Begitu juga ketika memberi ubat kepada anak. Memang anak-anak amat susah hendak makan ubat, tidak kira apa cara yang anda gunakan namun pastikan ubat diberi ketika dia duduk, bukan baring.

D. Patah tulang

Berbanding orang dewasa, kanak-kanak mudah mengalami patah tulang kerana tulang mereka masih lembut dan kecil.

Patah tulang di kalangan kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa dan walaupun kadar penyembuhan mereka sangat cepat, anak anda perlu diberikan rawatan sewajarnya di hospital.

Ia boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu patah terbuka (di mana tulang terjojol keluar menembusi kulit) dan patah tertutup (tulang patah tetapi kulit tidak cedera).

Tanda anak anda mengalami patah tulang ialah:

● Anak menangis dan sukar ditenangkan

● Bengkak dan sakit pada kawasan yang cedera

● Bahagian cedera nampak tidak normal

● Anak mengalami kesukaran untuk menggunakan atau menggerakkan anggota yang cedera

● Bahagian cedera terasa panas, lebam dan merah

Apa yang anda perlu lakukan?

Kata Dr Khairul, berhati-hati ketika mahu mengalihkan kedudukan anak. Jangan sentuh bahagian yang cedera. Jika anda mengesyaki tulangnya patah, buatlah penganduh atau splin untuk diikat pada anggota yang cedera.

Anda boleh gunakan kotak atau kadbod sebagai penganduh sementara. Penganduh ini sangat penting jika bahagian leher anak anda cedera.

Penganduh ini bertujuan mengurangkan pergerakan dan membantu mempercepatkan pemulihan.

Kanak-kanak yang mengalami patah tulang biasanya mengambil masa dua hingga empat minggu untuk pulih, bergantung kepada jenis kecederaannya, sedangkan tempoh pemulihan orang dewasa boleh melebihi enam minggu. Untuk mengurangkan rasa sakit, doktor akan memberikan anak ubat tahan sakit.

Selain itu, Dr Khairul turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa memberi perhatian kepada anak kerana kanak-kanak suka memasukkan objek kecil
ke dalam hidung atau telinga mereka.

Jika ini berlaku pada anak anda, jangan cuba keluarkan sendiri sebaliknya bawalah si kecil kesayangan anda berjumpa doktor untuk mendapatkan bantuan.