Rabu,01 Oktober 2014

Bina rumah bawah RM100,000 di Perak, Terengganu

SYARIKAT Perumahan Negara Berhad (SPNB), agensi milik penuh Kementerian Kewangan dijangka memulakan projek rumah mampu milik di bawah RM100,000 seunit untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana seluruh negara di Perak dan Terengganu juga pada suku kedua tahun depan.

Pengarah Urusannya, Prof Dr Kamarul Rashdan Salleh (gambar) berkata, pada masa ini pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan dua kerajaan negeri terbabit selain meneruskan pelbagai kajian berhubung perkara itu.


“Projek ini berasingan dengan Program Rumah Mampu Milik dan Perak serta Terengganu dipilih kerana kami (SPNB) mempunyai tanah di kedua-dua negeri.

“Pelaksanaan projek ini selaras dengan matlamat kerajaan dan SPNB untuk terus membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Beliau berkata, SPNB akan menjadi agensi pertama bekerjasama dengan Cagamas Berhad (Cagamas) menerusi Skim Rumah Pertamaku yang menawarkan jaminan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi rumah bernilai di bawah RM220,000 mulai Januari 2011.


“Sehubungan itu, kami menyasarkan jualan 6,300 unit rumah bernilai antara RM750 juta dan RM800 juta tahun depan, dua kali ganda lebih banyak berbanding jualan 3,000 unit tahun ini,” katanya.

Selain itu, katanya, SPNB komited untuk membangunkan 33 projek membabitkan 32,230 rumah di seluruh negara di bawah Program Rumah Mampu Milik.


“Sebanyak 14,000 unit daripada jumlah keseluruhan sudah dijual. Kami akan memulakan empat lagi projek baru membabitkan 1,200 rumah di Kedah, Selangor, Johor dan Sabah dalam suku kedua tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/12/27
`