Ahad,21 September 2014

Boleh arah catuan air

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui kuasa di bawah Akta Industri Perkhidmatan 2006 (Akta 655) boleh mengarahkan operator air melaksanakan catuan kepada pengguna sebagai langkah terakhir menangani masalah air sekiranya kedudukan bekalan air semakin terjejas hingga mencapai tahap kritikal.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam kenyataan semalam berkata, berikutan itu, mana-mana operator negeri yang perlu mencatu bekalan air disebabkan kekurangan sumber air mentah perlu mendapatkan kelulusan SPAN mengikut Seksyen 54, Akta 655.

“Justeru, operator perlu mengemukakan justifikasi termasuk Pelan Kontigensi yang meliputi strategi pengurusan, jadual catuan, pelan komunikasi serta lain-lain langkah mitigasi seperti penyediaan lori tangki dan tangki statik.

“Kementerian juga ingin menegaskan, walaupun paras di kebanyakan empangan dan sungai mengalami kemerosotan, keadaan bekalan air di kebanyakan negeri masih dalam keadaan terkawal,” katanya.


Malah, kementerian itu memaklumkan hanya Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) sudah diberikan kelulusan oleh SPAN untuk melaksanakan catuan bagi daerah Kluang bermula Selasa lalu akibat penurunan paras air di Sungai Sembrong Kiri yang menjejaskan Loji Rawatan Air (LRA) Sembrong Timur.


Menurutnya, selain Kluang, dua negeri, Negeri Sembilan dan Selangor diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan paras empangan serta sungai yang rendah.

“Bagi Selangor, keadaan kemerosotan bekalan air mentah lebih ketara disebabkan permintaan terhadap air terawat yang tinggi memerlukan lebih banyak air mentah dari sungai oleh loji rawatan air.

“Ini menyebabkan lebih banyak air mentah terpaksa dilepaskan dari empangan untuk memastikan paras air yang optimum di sungai khususnya di Sungai Selangor yang membekalkan 60 peratus daripada jumlah permintaan bekalan air terawat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

Dalam pada itu, sehingga Rabu lalu, pengeluaran LRA Sembrong Timur berkurangan daripada 31 juta liter sehari (JLH) kepada 19 JLH.

“Catuan air melalui kaedah pembekalan air berjadual membabitkan 51,036 akaun pengguna di daerah Kluang yang mana penduduk mendapatkan bekalan air dua hari dan dicatu satu hari berikutnya.

“Sebagai operator air, SAJH membahagikan kawasan kepada sembilan zon, malah tiga lori tangki dan 19 tangki statik disediakan di beberapa tempat,” katanya.

Pada masa sama, terdapat penurunan di beberapa empangan dan sungai di Negeri Sembilan dan keadaan masih terkawal sekali gus catuan air belum diperlukan.

Katanya, kerajaan negeri melalui operator air mereka, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) sudah melaksanakan pengagihan semula daripada punca bekalan lain dan dilaporkan mengatasi gangguan bekalan air di beberapa tempat.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/21