Jumaat,18 April 2014

Brazil pukau Mata

Berdasarkan aksinya di Chelsea sudah cukup membuatkan Juan Mata bakal menjadi pemain Sepanyol dalam perhatian menjelang Piala Konfederasi Brazil 2013. Pemain tengah serba boleh itu baru-baru ini menerima pingat Liga Europa selepas Liga Juara-Juara 2011/2012. Di puncak prestasinya, pemain berusia 25 tahun itu memperkatakan mengenai kehidupan dan matlamatnya di Brazil kelak.

SOALAN (S): Perlawanan pertama Sepanyol dalam Piala Konfederasi akan berlangsung tidak lama lagi (menentang Uruguay). Bagaimana perasaan anda?

JUAN MATA (JM): Saya benar-benar teruja dan bersedia menghadapinya. Saya mahu merasai satu lagi pengalaman dalam Piala Konfederasi. Saya bekerja keras sepanjang musim bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Foto

Juan Mata

S: Adakah penganjurannya di Amerika Selatan menjadikannya satu cabaran istimewa memandangkan pemain Eropah jarang berpeluang bermain di sana?

JM: Ya kerana ia kali pertama saya di Brazil dan kami akan bermain dalam perlawanan kompetitif di sana, sesuatu yang tidak pernah kami lakukan sebelum ini. Seronok juga dapat mengenali negara yang menjadi tuan rumah Piala Dunia. Kita akan lihat bagaimana keadaan stadium, suasana dan saya pasti ia hebat dan bersiap sedia untuk kejohanan tahun depan.


S: Adakah sesuatu yang membuatkan anda benar-benar teruja berdepan pengalaman baru itu?

JM:
Apabila anda bermain di Brazil, Maracana sentiasa berada di fikiran anda. Pastinya seronok jika kami dapat mara ke final di sana dan menjuarainya.


S: Sepanyol menjuarai dua edisi EURO sebelum ini dan juga juara dunia bertahan. Apa yang anda lihat daripada lawan yang membayangkan penghormatan dan kekaguman mereka terhadap La Roja?

JM:
Perkara utama adalah komen yang dibuat sebelum perlawanan dan kadang kala di padang sewaktu perlawanan. Sepanyol melalui era terhebat dalam sejarah bola sepak mereka dan sudah pasti pasukan lawan mahu menewaskan kami tetapi ia juga membuatkan kami bangga, bermain menentang kami dianggap sesuatu yang istimewa.


S: Mengapa anda fikir anda adalah pilihan automatik di Chelsea tetapi bukannya di La Seleccion?

JM:
Ini kerana La Seleccion mempunyai ramai pemain yang juga penting buat kelab mereka tetapi hanya 11 pemain boleh menjadi kesebelasan utama justeru persaingan amat sengit tetapi saya menikmati tiga kejohanan utama dan matlamat saya adalah terus terbabit dalam pasukan.


S: Adakah anda masih dikenali dengan gelaran 'Jonny Kills' (terjemahan langsung Juan Mata) di bilik persalinan Chelsea?

JM:
Tidak begitu kerap sekarang kerana Daniel Sturridge yang biasa menggelar saya dengan nama itu kini berpindah ke Liverpool. Yang lain memanggil saya Juan, dalam sebutan Sepanyol. Mereka mencuba tetapi tidak ramai boleh menyebutnya dengan betul. Hampir semua menyebutnya seperti 'one' , sukar untuk mereka menyebutnya dengan betul.


S: Adakah anda seorang yang kuat rasa ingin tahunya?

JM:
Ya, mungkin juga seorang yang tidak tahu duduk dia. Saya sentiasa ingin tahu mengenai bandar yang saya huni, apa keistimewaannya serta adat tempatan, ia sesuatu yang ada dalam keluarga. Kakak saya juga suka mengembara dan sejak kecil lagi kami sentiasa berminat melihat sesuatu yang berbeza dalam hidup.
Saya mengembara bersama rakan, kami ke kepulauan Greek, tidak lama dahulu ke barat Amerika Syarikat. Saya mahu melihat bandaraya dan bagaimana kehidupan di sana.


S: Adakah anda memilih bermain di Chelsea supaya boleh tinggal di London?

JM:
Saya membuat pilihan untuk datang ke sini kerana saya mahu bermain di kelab hebat seperti Chelsea, kelab yang memburu kejuaraan tetapi hakikatnya peluang untuk datang ke sini membuatkan saya mengambil keputusan itu terlebih dahulu.


S: Adakan anda rindukan Sepanyol?

JM:
Ada kalanya saya rindukan rumah, keluarga, kehidupan di Valencia dan berada di pinggir pantai tetapi saya juga gembira di sini. Mengalami sesuatu seperti ini, berpindah negara, belajar perkara baru, membuatkan saya lebih dewasa dan mempunyai perspektif lain mengenai bagaimana untuk hidup dan menjadi lebih matang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05
`